RAC salur RM500,000 zakat perniagaan, perkukuh tanggungjawab sosial korporat

FOTO BERITA: Majlis Penyerahan Zakat Korporat RAC Tahun 2025 & Program Ihya Ramadan Bersama Anak Yatim dan Media. Turut hadir YB Loke Siew Fook Menteri Pengangkutan, Timbalan Menteri YB Datuk Haji HasbiHaji Habibollah dan di Aloft Kuala Lumpur Sentral, Kuala Lumpur. 25hb Februari 2025 (Rabu)

Perbadanan Aset Keretapi (RAC), agensi kerajaan di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia, terus komited menunaikan tanggungjawab sosial korporat apabila menyalurkan sebanyak RM500,000 zakat perniagaan bagi Tahun Kewangan 2025 kepada dua institusi zakat negeri dalam Majlis Penyerahan Zakat Korporat RAC Tahun 2025 & Program Ihya Ramadan Bersama Anak Yatim dan Media di Aloft Kuala Lumpur Sentral, hari ini.

Majlis berkenaan disaksikan Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook serta Timbalan Menteri Pengangkutan, Hasbi Habibollah.

Daripada jumlah keseluruhan zakat tersebut, sebanyak RM250,000 disalurkan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) manakala RM250,000 lagi kepada Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK). Penyaluran itu mencerminkan komitmen berterusan RAC dalam menyokong pembangunan sosioekonomi masyarakat Islam khususnya golongan asnaf melalui bantuan pendidikan, kesihatan dan ekonomi.

Zakat perniagaan tersebut telah disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif RAC, Dato’ Azhar Ahmad kepada Timbalan Yang Dipertua MAIK, Dato’ Hj Mohd Anis Hussein, manakala LZNK diwakili Ketua Pegawai Kutipan, Mohamad Zaidi Azizan.

Majlis berkenaan turut diserikan dengan Program Ihya Ramadan bersama anak yatim dan media. RAC menyampaikan sumbangan RM3,500 masing-masing kepada Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim dan Asnaf Baitun Nurrawdhah serta Pertubuhan Kebajikan dan Perlindungan Nur Qaseh Malaysia.

Kira-kira 50 anak yatim yang hadir turut disantuni melalui pemberian duit raya dan cenderahati sebagai tanda keprihatinan serta usaha berkongsi kegembiraan menjelang Ramadan.

RAC berharap sumbangan yang disalurkan mampu meringankan beban golongan memerlukan serta memberi impak positif kepada kesejahteraan masyarakat, selari aspirasi pembangunan sosial yang inklusif dan mampan.
