Seawal 4 Pagi Menteri Bersahur Di Balai Bomba, Turut Bantu Sediakan Juadah
Dalam suasana Ramadan yang menuntut pengorbanan dan disiplin tinggi, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming memilih untuk memulakan hari seawal jam 4 pagi dengan menghadiri Program Singgah Sahur Madani di Balai Bomba dan Penyelamat Seputeh.
Kehadiran beliau bukan sekadar simbolik, malah disertai dengan tindakan turun sendiri membantu menyediakan juadah sahur kepada anggota bomba, termasuk menyediakan hidangan teh tarik sebelum duduk semeja bersama mereka yang sedang bertugas.
Program tersebut melibatkan kira-kira 100 anggota bomba, sebahagian daripada lebih 15,000 warga penyelamat di bawah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia yang bertugas di seluruh negara.
Dalam ucapannya, beliau menzahirkan penghargaan terhadap wira dan wirawati merah negara yang sanggup mengorbankan masa bersama keluarga demi memastikan keselamatan masyarakat sentiasa terpelihara, termasuk ketika majoriti rakyat sedang lena di awal pagi Ramadan.
Program ini memperlihatkan kesinambungan pendekatan kepimpinan turun padang yang cuba menzahirkan hubungan rapat antara Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan pasukan bomba.
Turut hadir ialah Ketua Pengarah JBPM, Dato Seri Ts Nor Hisham Mohammad, memperkukuh mesej bahawa kebajikan anggota bomba kekal menjadi keutamaan kementerian.
Kehadiran menteri dalam program sebegini membawa makna yang lebih luas daripada sekadar sahur bersama.
Ia adalah gambaran gaya kepimpinan yang cuba merasai sendiri rutin anggota barisan hadapan, khususnya ketika Ramadan yang sering menguji fizikal dan mental.
Tahun lalu, beliau juga mencatat sejarah sebagai Menteri KPKT pertama bersahur bersama warga bomba di Jalan Hang Tuah, dan kesinambungan ini memberi mesej konsisten bahawa penghargaan tidak hanya terhenti pada ucapan.
Dalam landskap politik semasa, tindakan turun padang seperti ini juga menjadi ukuran sejauh mana komitmen kerajaan Madani terhadap kebajikan penjawat barisan hadapan.
Soalnya bukan sekadar hadir atau tidak, tetapi apakah usaha susulan yang mampu benar benar meningkatkan kesejahteraan mereka yang mempertaruhkan nyawa demi rakyat.
BACA JUGA: Waktu puncak Rapid Rail dipanjangkan, mudahkan orang bekerja pulang awal berbuka