Zaliha kesal dengan pendirian 10 MP PKR
Pengerusi Kelab Penyokong-Penyokong Kerajaan (BBC), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa kecewa dengan pendirian 10 Ahli Parlimen PKR berhubung rang undang-undang (RUU) pemisahan kuasa Peguam Negara.
Beliau berkata, sepatutnya mereka terbabit diketuai Datuk Seri Rafizi Ramli perlu terlebih dahulu menyertai perbincangan dan perbahasan RUU secara teratur di Dewan Rakyat, yang dijadual berlangsung 3 Mac depan.
“Saya kecewa dengan tindakan mereka walaupun saya faham dengan kebimbangan mereka.
“Ramai lagi Ahli Parlimen yang mempunyai pandangan masing-masing yang saya kira seharusnya dibawa ke Dewan Rakyat untuk dibincang dan dibahaskan dengan lebih teratur,” katanya, dipetik BH.
Semalam, 10 Ahli Parlimen PKR melalui sidang media di Parlimen memberi kata dua sama ada menolak atau mengambil pendirian berkecuali ketika proses pengundian RUU berkenaan jika empat syor penambahbaikan dikemukakan ditolak kerajaan.
Namun, ia akan dimuktamadkan selepas mempertimbang dapatan mesyuarat Jemaah Menteri yang akan diadakan pada 27 Februari ini.
Mengulas lanjut, Zaliha berkata, sesi taklimat telah pun diadakan oleh Jabatan Perdana Menteri, Undang-Undang dan Reformasi Institusi pada 23 Februari baru-baru ini.
Sebahagian perkara berkaitan, katanya, telah pun dijawab oleh Datuk Seri Azalina Othman Said dan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar.
Zaliha yang juga Ahli Parlimen Sekijang di Johor menambah Jemaah Menteri perlu mengambil serius semua pandangan mereka, tidak kira dari blok pembangkang sekalipun.
“Apapun saya kira Jemaah Menteri harus mengambil serius tentang semua pandangan Ahli-Ahli Parlimen, sama ada dari pihak kerajaan mahupun pembangkang terutama pandangan yang dilontarkan ketika perbahasan di Dewan Rakyat pada 3 Mac kelak.
“Begitu juga di Dewan Negara sebelum mengambil tindakan tuntas berkenaan isu ini,” kata Naib Presiden PKR itu lagi.
BACA JUGA Pas tegur Bersatu, lebih baik ‘berpuasa’ daripada serang kawan sendiri