Zulkifli Hasan lancar Iftar Rahmah MADANI, 630,000 pek makanan disasar sepanjang Ramadan

FOTO BERITA: Majlis Pelancaran Program Iftar Rahmah Madani (IRM) disempurnakan oleh YB Senator Dr. Zulkifli Hasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di Surau As-Sobirin, Sg Besi, Kuala Lumpur. 25hb Februari 2026 (Rabu)

Program Iftar Rahmah MADANI (IRM) bukan sekadar penyediaan juadah berbuka puasa, malah menjadi wadah memperkukuh budaya sedekah dan kebersamaan masyarakat sepanjang Ramadan, kata Zulkifli Hasan.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Pelancaran IRM Tahun 1447H/2026M di Surau As-Sobirin, PPR Raya Permai, Sungai Besi, hari ini.

Dalam ucapannya, beliau merakamkan penghargaan kepada Jawatankuasa Surau As-Sobirin yang menjadi tuan rumah serta kepimpinan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) atas komitmen menjayakan program kebajikan tersebut.

“Bulan Ramadan ialah bulan penuh keberkatan yang bukan sahaja menuntut kita beribadah, malah mengajak kita memperbanyakkan amalan kebajikan, menyantuni golongan memerlukan dan berkongsi rezeki dengan masyarakat,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada warga JAWI dan MAIWP yang menurutnya bekerja siang dan malam dalam memastikan pelbagai program Ramadan dapat dilaksanakan dengan baik demi mengimarahkan bulan mulia itu di seluruh Wilayah Persekutuan.

Menurutnya, IRM tahun ini dilaksanakan dengan peruntukan sebanyak RM9.45 juta yang diluluskan MAIWP kepada JAWI, melibatkan 70 masjid dan surau terpilih di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan. Program itu menyasarkan pengagihan 300 pek makanan setiap hari bagi setiap lokasi, sekali gus menjadikan kira-kira 21,000 pek makanan diagihkan setiap hari dan keseluruhan 630,000 pek sepanjang Ramadan.

Sasaran penerima terdiri daripada golongan asnaf, B40 serta individu yang memerlukan di sekitar Wilayah Persekutuan. Majlis pelancaran turut diisi dengan penyampaian cek cura IRM kepada wakil masjid dan surau, sumbangan bakul makanan kepada asnaf, lawatan ke tapak penyediaan makanan serta pengagihan pek makanan kepada penerima.

Pelaksanaan IRM bertujuan meringankan beban kos sara hidup golongan terkesan akibat kenaikan harga barang di samping memperkukuh kerjasama strategik antara JAWI, MAIWP serta institusi masjid dan surau dalam melaksanakan inisiatif kebajikan yang memberi manfaat langsung kepada masyarakat.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan masyarakat agar menjadikan Ramadan sebagai madrasah pembentukan jiwa melalui ibadah, sedekah dan semangat kebersamaan. Katanya, kegembiraan Ramadan wajar dikongsi bersama dengan membantu orang lain agar semua dapat merasai nikmat berbuka puasa dan keberkatan bulan tersebut.

.

Beliau juga menyeru umat Islam menunaikan zakat fitrah serta memperbanyakkan sedekah, mencontohi sunnah Rasulullah SAW yang terkenal dengan sifat pemurah khususnya pada bulan Ramadan.

Program Iftar Rahmah mula diperkenalkan pada tahun 2023 sebelum dijenamakan semula sebagai Iftar Rahmah MADANI selaras dengan konsep Malaysia MADANI (IRM). Sejak diperkenalkan, program ini dilihat semakin tersusun dan berkesan serta memperkukuh peranan masjid dan surau sebagai pusat komuniti, kebajikan sosial dan wadah memupuk kesejahteraan ummah.