Cadangan peruntukan baharu Akta Persaingan 2010 (Akta 712) perkukuh perlindungan dan ganjaran pemberi maklumat

FOTO BERITA: Majlis Menandatangani Surat Persefahaman antara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) disempurnakan oleh YB Dr. Mohammed Taufiq Johari, Menteri Belia dan Sukan (KBS) dan YB Datuk Armizan Mohd Ali, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di Menara KBS, Putrajaya. 26hb Februari 2026 (Khamis)

Majlis Menandatangani Surat Persefahaman (LoU) antara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) telah disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Mohammed Taufiq Johari serta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Mohd Ali dalam satu majlis di Menara KBS, hari ini.

Pemeteraian LoU tersebut menjadi simbol kerjasama strategik antara MyCC dan KBS dalam memperkukuh pemahaman, pematuhan serta penguatkuasaan undang-undang persaingan, khususnya bagi mengekang kewujudan kartel dan pakatan tipuan bida dalam proses perolehan awam.

LoU berkenaan telah ditandatangani oleh Ketua Setiausaha KBS, Dato’ Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu dan Pengerusi MyCC, Tan Sri Dato’ Sri Idrus Harun. Menerusi perjanjian itu, kedua-dua pihak bersetuju melaksanakan kerjasama meliputi tiga skop utama iaitu penyediaan laporan penilaian awal unsur tipuan bida dalam perolehan, pelaksanaan latihan berkala kepada pegawai perolehan KBS serta agensi di bawahnya, dan penyediaan khidmat nasihat berkaitan isu persaingan serta risiko dalam proses perolehan.

Kerjasama ini turut mencerminkan pendekatan seluruh kerajaan (whole-of-government) dalam memperkukuh agenda membanteras amalan antipersaingan, selaras usaha MyCC yang sebelum ini telah memeterai lima LoU bersama agensi kerajaan lain termasuk Kementerian Kewangan Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri serta Jabatan Wilayah Persekutuan.

Pada masa sama, MyCC komited memperkukuh ekosistem pasaran yang adil, telus dan berdaya saing melalui cadangan pengenalan 14 peruntukan baharu di bawah Akta Persaingan 2010 (Akta 712) sebagai sebahagian reformasi undang-undang dan institusi bagi menangani amalan antipersaingan yang semakin kompleks.

Antara cadangan utama ialah pengenalan perlindungan khusus kepada pemberi maklumat, termasuk jaminan kerahsiaan identiti dalam prosiding MyCC, Tribunal Rayuan Persaingan atau mana-mana prosiding berkaitan di bawah Akta 712. Selain itu, cadangan pemberian ganjaran kepada pemberi maklumat turut diketengahkan bagi menggalakkan kerjasama lebih proaktif daripada orang awam dan pihak industri dalam membongkar kegiatan kartel tipuan bida serta monopoli bermasalah.

Sejajar dengan matlamat KITA GEMPUR, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menegaskan komitmen untuk terus mempergiat jalinan kerjasama strategik dengan pelbagai pihak berkepentingan bagi memastikan tindakan pembanterasan kartel dilaksanakan secara tegas, bersepadu dan berterusan.