Hamzah kekal ketua pembangkang – Takiyuddin
Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin kekal sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat.
Perkara itu diumumkan Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam sidang media di Parlimen hari ini.
Beliau berkata, tiada makluman rasmi dikemukakan kepada Speaker, Tan Sri Johari Abdul untuk mengubah kedudukan ketua pembangkang.
“Saya baru jumpa dengan Speaker (Tan Sri Johari Abdul) pukul 11 pagi tadi, selepas berbincang dan saya rujuk kepada kenyataan beliau sebelum ini mengenai Hamzah masih Ketua Pembangkang, kami bersetuju.
“Setakat ini kedudukannya begitu. Tiada apa-apa notifikasi daripada Pembangkang mengenai kedudukan Ketua Pembangkang,” katanya.
Aturan tempat duduk di Dewan Rakyat juga tidak berubah.
Berbaki dua hari lagi sebelum sidang Parlimen berakhir, Takiyuddin berkata PN kemungkinan besar tidak akan membuat sebarang keputusan segera.
“Masa begitu singkat. Kita akan bincang (selepas ini), masa panjang lagi.
“Jadi kita tiada apa-apa keputusan lagi,” katanya.