Pijak Quran umpama pijak Veda – Pimpinan PKR kecam pemuda pijak Quran
G Sivamalar
Saya dengan tegas mengecam perbuatan terbaharu yang melibatkan penghinaan terhadap Al-Quran. Tindakan sedemikian amat biadab, tidak boleh diterima dan sama sekali tidak mempunyai tempat dalam sebuah masyarakat bertamadun serta berbilang agama seperti Malaysia.
Agama Hindu, sebagaimana agama-agama lain, tidak pernah mengizinkan sebarang perbuatan menghina kitab suci atau rumah ibadat mana-mana agama. Seorang penganut Hindu yang bertanggungjawab tidak akan melakukan perbuatan sedemikian.
Memijak Al-Quran bagi kami adalah seumpama memijak kitab Veda kami sendiri. Ia merupakan satu pelanggaran terhadap suara hati, keimanan dan nilai kemanusiaan.
Pada masa yang sama, saya ingin menegaskan bahawa perbuatan mempersenda, menyebarkan rakaman video di media sosial, yang melibatkan perobohkan kuil, tokong atau mana-mana rumah ibadat sambil bergambar dan ketawa, malah berkali-kali menyatakan kuil sebagai “haram”, juga tercela dan tidak boleh diterima.
Tindakan sedemikian amat menyakitkan hati dan menggugat keharmonian antara agama. Seorang Muslim yang berpegang kepada prinsip dan nilai agama tidak akan bertindak sedemikian. Penghinaan tidak boleh sama sekali dibenarkan, tanpa mengira daripada komuniti mana ia datang.
Adalah tidak adil dan berbahaya untuk menghukum atau melabel keseluruhan komuniti Hindu atau Cina atas perbuatan segelintir individu, sebagaimana tidak wajar untuk menggeneralisasikan umat Islam berdasarkan tindakan tidak bertanggungjawab oleh pihak tertentu. Sikap menyalahkan secara kolektif hanya akan menambahkan rasa curiga dan meretakkan fabrik sosial negara.
Kita harus mengingati pengorbanan generasi terdahulu yang membina negara ini atas asas kepelbagaian kaum, budaya dan saling menghormati. Malaysia dihormati di peringkat antarabangsa bukan semata-mata kerana kekuatan ekonominya, tetapi kerana kemampuan rakyatnya yang berbilang kaum dan agama hidup bersama dalam suasana aman dan harmoni.
Saya dengan rendah hati menyeru orang ramai agar tidak terperangkap dengan agenda pihak tidak bertanggungjawab yang cuba meniup api kebencian serta menggugat keharmonian antara agama. Matlamat mereka adalah untuk memecahbelahkan masyarakat.
Sudah tentu, cubaan seperti ini sering dipergiatkan apabila pilihan raya semakin hampir. Kita tidak boleh membiarkan mereka berjaya.
Marilah kita berdiri teguh dan bersatu hati untuk menghantar mesej yang jelas dan tegas bahawa Malaysia menolak ekstremisme, provokasi dan kebencian agama. Kita adalah satu negara yang diikat oleh nilai hormat, maruah dan hidup bersama secara aman.
Hanya melalui perpaduan, sikap matang dan kejelasan moral, kita mampu mempertahankan keamanan serta keharmonian yang menjadi tunjang negara ini.
G Sivamalar ialah Timbalan Setiausaha dan ahli MPP PKR.
BACA JUGA: Pelajar pijak al-Quran direman 4 hari, UMPSA tubuh jawatankuasa siasatan