Wan Azizah serah peruntuk RM83,500 kepada 105 masjid dan surau sokong Aktiviti Ramadan 1447H

FOTO BERITA: Majlis Penyerahan Sumbangan Ihya’ Ramadhan disempurnakan oleh YB Dato’ Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail Ahli Parlimen Bandar Tun Razak bersama dengan Datuk Azman Abidin; Setiausaha Politik kepada YAB Perdana Menteri kepada masjid dan surau sekitar Parlimen Bandar Tun Razak 2026 di Dewan Masjid Al-Muqarrabin
Bandar Tasik Selatan. Kuala Lumpur. 26hb Februari 2026 (Khamis)

Majlis Penyerahan Sumbangan Ihya’ Ramadan Peringkat Parlimen Bandar Tun Razak bagi tahun 1447H/2026M telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Wan Azizah Wan Ismail, dalam satu majlis yang berlangsung di Dewan Masjid Al-Muqarrabin, Bandar Tasik Selatan, hari ini.

Turut hadir ialah Azman Abidin, Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri; Ustaz Mohamad Khalil Ibrahim, Pegawai Tadbir Agama Zon 5, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI); Puan Asyqoh Yusof, Pengurus Kawasan DBKL Bandar Tun Razak; serta YDH ACP Mohd Rosdi Daud, Ketua Polis Daerah Cheras. Majlis turut dihadiri pengerusi-pengerusi masjid dan surau serta wakil agensi kerajaan sekitar Parlimen berkenaan.

Dalam ucapannya, Wan Azizah menzahirkan rasa syukur atas kesempatan untuk bersama-sama menjayakan program Ihya’ Ramadan yang menjadi platform memperkukuh peranan institusi masjid dan surau sebagai pusat pembangunan ummah.

“Ramadan adalah bulan yang mulia, bulan pengampunan dan bulan untuk kita melipatgandakan amal ibadah serta kebajikan. Sumbangan yang diserahkan hari ini bertujuan meringankan beban pihak pengurusan masjid dan surau agar aktiviti mengimarahkan rumah Allah dapat dilaksanakan dengan lebih lancar,” katanya.

Beliau memaklumkan bahawa Pejabat Parlimen Bandar Tun Razak memperuntukkan sebanyak RM83,500 bagi menyokong pelaksanaan program Ihya’ Ramadan tahun ini. Sumbangan tersebut melibatkan 10 buah masjid, 12 surau Jumaat dan 83 surau biasa di sekitar kawasan Bandar Tun Razak.

Menurut beliau, sokongan berterusan terhadap institusi masjid dan surau penting dalam melahirkan masyarakat yang seimbang dari segi rohani, jasmani, emosi, intelek dan sosial, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI. Malah, pelbagai aktiviti yang dirancang sepanjang Ramadan seperti program ilmu, solat tarawih dan penyediaan juadah berbuka puasa mampu memupuk perpaduan serta mengeratkan ukhuwah dalam kalangan komuniti setempat.

Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), agensi-agensi agama serta semua jawatankuasa masjid dan surau yang sentiasa komited menjayakan program sepanjang bulan Ramadan.

Majlis diakhiri dengan penyerahan simbolik sumbangan kepada wakil-wakil masjid dan surau serta sesi bergambar sebagai tanda penghargaan atas usaha berterusan mengimarahkan institusi rumah Allah di Parlimen Bandar Tun Razak.