Jho Low dikeluarkan daripada Notis Merah Interpol?

Dalang di sebalik skandal 1MDB Low Taek Jho yang lebih dikenali sebagai Jho Low kekal di dalam senarai Notis Merah Interpol tetapi ia tidak dipaparkan pada laman web awam Interpol, kata Menteri Dalam Negeri Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

“Interpol mempunyai autonomi penuh dalam pengurusan notisnya. Kebanyakan “Red Notice” (terutamanya berkaitan jenayah kewangan) tidak dipaparkan pada laman web awam Interpol,” kata Saifuddin dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat.

“Hanya pihak berkuasa polis negara berkaitan yang mempunyai akses kepada pangkalan data ini untuk tujuan penguatkuasaan.

“Kes ini melibatkan bidang kuasa undang-undang pelbagai negara. Pendedahan status terperinci secara terbuka boleh mengganggu strategi diplomatik dan perundangan yang sedang berjalan.

“Keutamaan kerajaan adalah memastikan pemulangan asset negara. Sebarang kenyataan umum mengenai status lokasi atau notis individu boleh menjejaskan kerjasama sensitif dengan negara-negara luar yang sedang membantu kita.

“Oleh itu, kerajaan tidak boleh mendedahkan perincian status semasa di peringkat antarabangsa secara terbuka demi menghormati “autonomi Interpol” serta menjamin kejayaan rundingan dan penyelesaian kes yang melibatkan banyak negara ini.”

Beliau berkata demikian dalam menjawab soalan Chong Zhemin (PH-Kampar).

BACA JUGA: Malaysia berjaya dapatkan semula RM39 juta aset berkait Jho Low