Kerajaan dah bincang cadangan tubuh RCI siasat Azam Baki
Isu penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki telah dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kenyataan rasmi berhubung perkara itu akan dikeluarkan nanti.
“Kita dah bincang elok tadi, nanti akan ada kenyataan,” katanya selepas menunaikan Solat Jumaat di Masjid Jamek Bandar Kajang, di sini, hari ini.
Anwar ditanya berkenaan desakan berterusan DAP supaya RCI ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan pemilikan saham melibatkan Azam serta dakwaan kewujudan mafia korporat di dalam SPRM.
Sebelum ini, media melaporkan, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, akan mencadangkan kepada mesyuarat Kabinet, hari ini, supaya RCI ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan kewujudan ‘mafia korporat’.
Pada masa sama, penasihat DAP, Lim Guan Eng turut mengumumkan parti akan mengadakan kongres khas pada 12 Julai depan bagi perwakilan parti memutuskan, sama ada pemimpin mereka harus melepaskan jawatan kerajaan atau tidak.
Bagaimanapun, kongres khas itu mungkin diawalkan jika mesyuarat Kabinet menolak cadangan untuk menubuhkan RCI bagi menyiasat dakwaan itu.
BACA JUGA KUSKOP Anjur Tausiyah Ramadan, Hampir 700 Warga Bersama Steven Sim dan Habib Ali