Saling berbalas saman, Caprice tuntut RM10 juta terhadap Rafizi
Pempengaruh media sosial, Caprice memfailkan saman fitnah sebanyak RM10 juta terhadap Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli.
Dalam satu kenyataan, Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli berkata, ia selepas bekas menteri ekonomi itu gagal membuat permohonan maaf dan menurunkan hantaran yang berbaur tuduhan ke atasnya.
Ia berkait dengan tuduhan bahawa Caprice dikatakan telah memfitnah Rafizi seperti diperincikan dalam dua surat tuntutan peguam bertarikh 20 dan 23 Februari 2026.
“Saya ingin memberi pencerahan bahawa tindakan dibuat setelah Rafizi gagal memohon maaf kepada hantaran-hantaran di media sosial beliau berkenaan tuduhan beliau bahawa saya memfitnah beliau seperti yang diperincikan melalui dua surat tuntutan peguam bertarikh 20 dan 23 Februari 2026,” katanya.
Menurut Caprice, saman yang difailkannya menuntut ganti rugi sebanyak RM10 juta, permohonan maaf dan injunksi terhadapnya.
Dia juga berharap nama baiknya dapat dibersihkan melalui saman ini.
Pada 20 Februari lalu, Caprice mendesak Rafizi menurunkan semua hantaran di media sosial dan meminta maaf kepadanya sebelum jam 5 petang esoknya atau berdepan tindakan undang-undang.
Pada 21 Februari pula, Rafizi berkata beliau akan meneruskan saman terhadap Caprice kerana pempengaruh itu tidak memohon maaf berhubung kandungan yang dimuat naik, yang disifatkan menuduh Rafizi mempunyai kepentingan dalam sebuah syarikat.
BACA JUGA Selepas Caprice belikan sejambak bunga mawar, ini Rafizi akan buat