Sepatutnya Hadi Awang jadi “poster boy” bukan Ahmad Samsuri
Jika benar kepimpinan ulama menjadi asas perjuangan Pas, sepatutnya Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang diangkat sebagai “poster boy” untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Setiausaha Agung Parti Amanah Negara, Faiz Fadzil, berkata, peranan tersebut tidak sepatutnya diberikan kepada Pengerusi baharu Perikatan Nasional, Datuk Seri Dr Samsuri Mokhtar.
“Begitulah wajah sebenar Pas, hanya mementingkan politik dan bukannya perjuangan Islam sebenar. Islam hanya ditunggang sebagai candu politik demi meraih undi dan sokongan terutamanya daripada kaum Melayu.
“Tetapi hakikatnya, Pas sering membuat fatwa yang berubah-ubah mengikut selera politik mereka. Ketika bermusuh dengan UMNO, UMNO dikafirkan, tetapi ketika mahu bersama UMNO, UMNO diibarat satu rahmat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dengan perubahan kompas politik Pas sekarang, Faiz berkata parti itu tidak lagi boleh mendabik dada mengatakan mereka sahaja boleh berjuang Islam.
Malah tuduhan AMANAH liberal, sekular dan bermacam lagi tidak lagi relevan kerana Pas tidak lagi memperjuangkan kepimpinan ulama’.
“Sekadar menuduh AMANAH tidak Islamik hanya kerana berkawan dengan DAP tidak berasas kerana Pas juga pernah berkawan dengan DAP, malah menyokong kepimpinan DAP di dalam kerajaan Pulau Pinang pada tahun 2008 dan 2013,” tambahnya lagi.
Faiz turut menyentuh ketidakupayaan negeri ditadbir Pas yang gagal berfungsi dengan baik sebagai kerajaan dan ia bukannya disebabkan perbezaan politik Persekutuan-Negeri.
Berbeza dengan PH, sebelum ini Selangor dan Pulau Pinang ditadbir dengan baik walaupun ketika tidak sealiran dengan pemerintah di peringkat persekutuan, namun mengapa Pas tidak dapat menunjukkan prestasi yang serupa?
Berdasarkan data 2024, satu pertiga KDNK Malaysia atau 33.6% disumbangkan oleh dua negeri, iaitu Selangor dan Pulau Pinang.
Manakala, keempat-empat negeri di bawah Pas dan PN pula hanya menyumbangkan kurang daripada 8%, dengan Terengganu hanya menyumbang sekadar 2.4%.
“Prestasi paling buruk direkodkan oleh Kelantan di mana sumbangannya pada 2024 hanyalah 1.7% walaupun ia merupakan negeri keenam terbesar.
“Lebih malang lagi, data setakat 31 Dis 2025 menunjukkan bahawa Kelantan, Terengganu dan Kedah menyumbang lebih separuh kes kemiskinan di Semenanjung Malaysia,” ujarnya.