AGC seru siasatan bebas dakwaan guling kerajaan, ambil tindakan tak kira kedudukan
Jabatan Peguam Negara (AGC) memandang serius laporan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mendakwa wujudnya cubaan untuk menjatuhkan kerajaan serta mengganggu gugat kestabilan negara.
AGC dalam satu kenyataan berkata, sebarang perancangan yang berunsur menggugat ketenteraman awam, kestabilan politik dan keselamatan negara merupakan suatu perkara yang menyentuh asas sistem demokrasi berparlimen serta prinsip kedaulatan undang-undang.
Justeru tegasnya, siasatan hendaklah dijalankan secara menyeluruh, profesional dan bebas daripada sebarang campur tangan.
“Mana-mana pihak yang didapati terlibat, sekiranya ada, hendaklah dipertanggungjawabkan menurut undang-undang yang berkuat kuasa tanpa mengira kedudukan atau latar belakang
“Jabatan ini akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada PDRM bagi memastikan proses perundangan yang sewajarnya dapat dilaksanakan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan prinsip kedaulatan undang-undang,” kata kenyataan tersebut.
AGC berkata, sebarang keputusan berhubung pendakwaan akan dibuat secara bebas dan objektif, berdasarkan fakta, keterangan serta pertimbangan undang-undang.
BACA JUGA Kecoh raya mengejut tahun ini, Jabatan Mufti Perak tampil beri penjelasan