Israel lancar serangan pagi Sabtu terhadap Iran

Israel telah melancarkan satu serangan terhadap Iran, sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai kemungkinan konflik lebih luas di Asia Barat.

Menteri Pertananan, Israel Katz dalam satu kenyataan daripada kementeriannya mengisytiharkan darurat khas dan segera di seluruh negara.

Orang ramai juga menerima amaran telefon tentang ancaman “yang sangat serius”.

Siren amaran kedengaran di seluruh Israel dan ruang udara ditutup untuk penerbangan awam.

Pihak berkuasa memberi amaran kepada orang awam supaya berada berhampiran tempat perlindungan sementara aktiviti tidak penting seperti pendidikan dan perhimpunan sosial turut dihentikan sementara.

Media Iran pula melaporkan bahawa rangkaian telefon bimbit terputus di beberapa bahagian di timur dan barat Tehran, manakala sambungan Internet semakin lemah di sesetengah kawasan.

Menurut laporan, tiga letupan besar kedengaran di pusat bandar Teheran, dengan beberapa misil disasarkan ke ibu kota, termasuk berhampiran pejabat Pemimpin Tertinggi Iran, Ali Khamenei.

Israel Katz mendakwa, tindakan itu diambil bagi “menghapuskan ancaman terhadap Israel”, susulan kebimbangan berterusan terhadap program nuklear serta pembangunan peluru berpandu Iran yang didakwa mampu menggugat keselamatan serantau.

Amerika Syarikat dan Iran sebelum ini telah kembali ke meja rundingan pada Februari dalam usaha mencari penyelesaian diplomatik terhadap pertikaian nuklear yang berlarutan sejak beberapa dekad, namun Israel tetap menegaskan sebarang perjanjian baharu mesti melibatkan pembongkaran infrastruktur nuklear Iran.

Iran pula menyatakan kesediaan untuk membincangkan langkah mengehadkan program nuklearnya sebagai pertukaran kepada pemansuhan sekatan antarabangsa, tetapi menolak sebarang syarat yang mengaitkan isu nuklear dengan program peluru berpandu negara itu.