Kecoh raya mengejut tahun ini, Jabatan Mufti Perak tampil beri penjelasan

Pihak Jabatan Mufti Negeri Perak mengambil maklum kerisauan sebahagian masyarakat berhubung dengan tularnya kemungkinan tarikh 1 Syawal yang dikatakan berpotensi jatuh pada hari Jumaat, berbeza dengan takwim tahunan yang menyatakan hari Sabtu sebagai jangkaan awal.

Jabatan Mufti Negeri Perak dalam satu kenyataan menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi awal berhubung tarikh hari raya dan menunggu pengumuman rasmi pihak berautoriti.

Kenyataan itu menyebut, takwim hijri yang diedarkan kepada umum disusun berdasarkan data hisab sebagai panduan perancangan tahunan. 

Walau bagaimanapun, penetapan rasmi 1 Syawal adalah tertakluk kepada proses rukyah hilal pada petang 29 Ramadan serta pengisytiharan pihak berautoriti.

“Sebarang perbezaan antara jangkaan takwim dan keputusan rasmi bukanlah sesuatu yang luar biasa dalam sistem penentuan awal bulan. Islam.

“Secara prinsip falak, apabila hilal berada di atas ufuk ketika matahari terbenam, secara umumnya ia mempunyai potensi untuk dilihat.

“Namun, dalam konteks kita di Malaysia, tahap kebolehnampakan hilal bergantung kepada beberapa parameter teknikal seperti ketinggian hilal (altitud) dan jarak antara bulan dan matahari (elongasi),” jelasnya.

Jabatan mufti turut maklum terdapat kebimbangan bahawa situasi tahun 2022 mungkin berulang kembali. 

Untuk makluman, parameter hilal setiap tahun adalah berbeza. Pada tahun ini kedudukan hilal Syawal didapati lebih rendah dan lebih sukar untuk dicerap berbanding tahun 2022, maka secara teknikal tahap kebolehnampakannya juga adalah lebih sukar.

“Namun begitu, keputusan rasmi tetap bergantung kepada dapatan cerapan sebenar, proses pengesahan yang ditetapkan dan pengisytiharan Penyimpan Mohor Besar Raja-raja,” ujarnya.

Dalam pada itu, Jabatan Mufti Negeri Perak menggalakkan agar persiapan Aidilfitri dibuat secara terancang dan lebih awal, demi mengelakkan sebarang kesulitan di saat akhir.

Tular di media sosial, kebimbangan masyarakat bahawa 1 Syawal pada tahun ini akan jatuh pada 20 Mac (Jumaat) berbanding jangkaan pada 21 Mac (Sabtu).

Ia dikhuatiri bakal mengulangi situasi pada 2022 apabila hari pertama Aidilfitri disambut secara ‘terkejut’ apabila jatuh sehari awal daripada jangkaan.

BACA JUGA Bertahun duduk Malaysia, lelaki Indonesia balik kampung jual burger Ramly