CEC DAP kecam serangan AS-Israel, gesa genjatan senjata dipatuhi
Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP mengecam serangan peluru berpandu Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap Iran dan menggesa agar genjatan senjata dipatuhi.
Ahli CEC DAP, Kasthuri Patto, berkata, tindakan AS-Israel itu perlu dibawa ke ke Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk rundingan damai kearah keamanan.
“Dunia menyaksikan dengan penuh gerun pada hari Sabtu (28 Februari) apabila Israel dan AS melancarkan serangan udara peluru berpandu ke atas Iran yang menyasarkan kawasan serta pangkalan tentera Iran yang dibalas serangan oleh pihak Iran.
“57 hari yang lalu, pada 3 Januari, tentera AS telah menceroboh dan menahan Nicolas Maduro, bekas Presiden Venezuela, dan semalam pula, telah melancarkan serangan keatas negara Iran.
“Sehingga kini, tentera IDF dan tentera Amerika Syarikat telah mengatur, merancang dan menyelaraskan serangan ke atas Iran.
“Sehingga kini jumlah yang terkorban kian meningkat dari jumlah 200 mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kasthuri yang juga Setiausaha Hal Ehwal Antarabangsa DAP menegaskan bahawa tindakan yang tidak bertanggungjawab oleh pemimpin AS dan Israel sebagai “amat jijik dan berbahaya”.
Menurutnya, satu pihak dikehendaki oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di atas jenayah perang, jenayah terhadap hak asasi dan genosid manakala satu pihak lagi iaitu AS sebagai pembekal senjata terbesar kepada Israel, yang kebanyakannya digunakan untuk menyerang Iran.
Gencatan senjata
Sehubungan itu, DAP tegasnya, sebagai sebahagian daripada rangkaian global parti-parti progresif mengecam serangan tersebut dan menyeru supaya keadaan di Iran reda seperti sediakala termasuklah gencatan senjata antara semua negara terbabit.
Parti komponen Kerajaan MADANI itu menyifatkan serangan AS-Israel itu bukan sahaja terhadap sebuah negara berdaulat tetapi juga serangan terhadap prinsip demokrasi itu sendiri.
“DAP menyeru agar serangan di medan perang, yang jelas telah melanggar undang-undang serta perjanjian antarabangsa dan sebaliknya dibawa ke meja rundingan damai untuk semua pihak berpegang kepada komitmen untuk mencapai keamanan di rantau tersebut.
“Kita tidak harus, tidak boleh menerima sewenangnya satu keadaan dimana sesebuah negara menyerang negara yang lain, sebuah negara yang berdaulat tanpa sebarang justifikasi lebih-lebih lagi apabila menggunakan alasan nafsu kuasa.
“Hak rakyat Iran untuk menentukan nasib sendiri mesti dihormati oleh semua pihak,” kata beliau lagi.
BACA JUGA Dah bunuh Khamenei di bulan Ramadan, Trump ugut Iran pula jika balas serangan