Hegemoni AS-Israel mesti dihentikan
Kerajaan Malaysia digesa mengambil pendirian lebih tegas dalam membantah tindakan ketenteraan Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap Iran yang disifatkan sebagai pencerobohan serta pengabaian serius terhadap undang-undang antarabangsa.
Pengerusi Biro Antarabangsa Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, serangan terbaharu itu mengesahkan tiga hakikat utama mengenai pendekatan geopolitik Washington terhadap Tehran.
Beliau berkata, pertama, taktik AS tidak lagi boleh dipercayai apabila serangan dilancarkan ketika rundingan masih berlangsung, sekali gus menjadi kali kedua dalam tempoh setahun tindakan sedemikian berlaku.
“Kedua, AS terus mengubah sasaran rundingan daripada isu tenaga nuklear kepada peluru berpandu balistik Iran, sebelum akhirnya menjurus kepada agenda pertukaran rejim,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut menyifatkan serangan bersama AS dan Israel itu menunjukkan Washington sedang melaksanakan kepentingan strategik Israel dengan tujuan melemahkan Iran, sama seperti yang berlaku terhadap Iraq, Libya dan Syria sebelum ini.
Raja Bahrin berkata, situasi semasa memperlihatkan sistem antarabangsa semakin terhakis apabila Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) diketepikan manakala keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) tidak lagi dihormati.
Katanya, dalam sejarah moden, dunia jarang menyaksikan tindakan ketenteraan yang menurut beliau begitu jelas mengabaikan prinsip undang-undang antarabangsa seperti yang berlaku di Gaza, Tebing Barat, Venezuela dan Cuba.
“Undang-undang rimba, di mana yang kuat sentiasa benar, seolah-olah menjadi aturan semasa dan dunia kelihatan tidak berdaya berbuat sesuatu.
“Terlalu banyak sikap memandang sebelah mata apabila pembunuhan beramai-ramai – genosid ,dan penindasan terbuka berlaku telah membawa dunia ke tahap sekarang,” tegasnya.
Tekanan kuasa besar
Mengulas perkembangan konflik, Raja Bahrin turut merujuk laporan berkenaan sebuah sekolah di Minab, selatan Iran, dibom pada hari pertama serangan sehingga mengorbankan lebih 80 pelajar perempuan muda.
Menurutnya, insiden itu mempunyai persamaan dengan corak serangan yang sebelum ini berlaku di Gaza.
Raja Bahrin berkata, laporan mengenai kematian Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, serta perkembangan geopolitik lain menunjukkan wujud kebimbangan bahawa pemimpin dunia berdepan tekanan kuasa besar dalam menentukan hala tuju politik negara masing-masing.
Sehubungan itu, menyeru rakyat Malaysia memperluaskan gerakan Boycott, Divestment and Sanctions (BDS) serta memboikot produk Amerika Syarikat sebagai tanda bantahan terhadap tindakan ketenteraan tersebut.
Bekas Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu menegaskan kegagalan mengambil pendirian tegas terhadap apa yang disifatkannya sebagai hegemoni kuasa besar berisiko membawa dunia ke arah keadaan tanpa undang-undang dan anarki berpanjangan.
“Jika pendirian tegas tidak diambil, ketidaktentuan dunia akan terus meruncing sehingga menjadi tidak terkawal sehingga membawa kepada keadaan tanpa undang-undang dan anarki yang berterusan,” kata Raja Bahrin lagi.
BACA JUGA AS papar pelancaran peluru berpandu, lebih 200 syahid di Iran