Juadah RAHMAH RM5 dan insentif e-Dompet RM20 tarik pengunjung di empat lokasi BRR Kuala Lumpur

FOTO BERITA: Sesi Walkabout Bazar Ramadan RAHMAH (BRR) Tahun 2026 Zon Tengah yang dihadiri YB Senator Datuk Dr. Hajah Fuziah Salleh Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup di Bazar Ramadan Raja Alang, Kg Baru, Kuala Lumpur. 28hb Februari 2026 (Sabtu)

KUALA LUMPUR, 28 Februari 2026 (Sabtu) — Sesi Walkabout dan Program Bazar Ramadan RAHMAH (BRR) Tahun 2026 peringkat Zon Tengah diteruskan hari ini di Bazar Ramadan Jalan Raja Alang, Kampung Baru dengan kehadiran Fuziah Salleh, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Program berkenaan merupakan sebahagian daripada inisiatif di bawah Payung RAHMAH MADANI yang bertujuan membantu rakyat menangani peningkatan kos sara hidup sepanjang bulan Ramadan melalui penyediaan juadah mampu milik.

Memasuki tahun keempat pelaksanaannya sejak diperkenalkan pada 27 Mac 2023, Kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) meneruskan pelaksanaan BRR pada tahun 2026 di 116 lokasi bazar Ramadan di seluruh negara dengan penglibatan kira-kira 3,000 peniaga.

Bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, sebanyak empat lokasi BRR dilaksanakan dengan kerjasama strategik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), iaitu Bazar Ramadan Jalan Raja Alang (Kg. Baru), Bazar Ramadan UTC Sentul, Bazar Ramadan TLK Tasik Permaisuri; dan Bazar Ramadan Seksyen 1, Wangsa Maju.

Di semua lokasi terlibat, peniaga menawarkan pelbagai pilihan Juadah RAHMAH pada harga RM5.00 dan ke bawah bagi memastikan golongan berpendapatan rendah berupaya mendapatkan juadah berbuka puasa yang seimbang serta berpatutan.

Selain itu, insentif e-dompet bernilai RM20 turut ditawarkan kepada pengunjung menerusi Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) bagi menggalakkan urus niaga tanpa tunai. Secara keseluruhan, sebanyak 8,000 PIN e-dompet akan diedarkan di Kuala Lumpur sepanjang Ramadan 2026 menerusi pelaksanaan BRR di empat lokasi tersebut.

Dalam pada itu, KPDN turut memberi penekanan serius terhadap usaha mengurangkan pembaziran makanan melalui pelaksanaan Ihsan Food Bank (i-FB) @ Bazar Ramadan RAHMAH yang diterajui secara aktif oleh Gerakan Pengguna Siswa (GPS) KPDN di seluruh negara.

Sehingga 27 Februari 2026, jam 11.00 malam, inisiatif MYSaveFood Ramadan di BRR seluruh negara merekodkan pencapaian berikut iaitu 73 bazar terlibat (30 telah beroperasi), 10,804.2 kilogram makanan berjaya diselamatkan. Nilai makanan diselamatkan berjumlah RM152,211.53;
21,927.08 kilogram pelepasan karbon dioksida (CO₂) berjaya dicegah dan
750 sukarelawan GPS digerakkan.

Data tersebut membuktikan penglibatan GPS KPDN memperkukuh keberkesanan operasi pengumpulan dan pengagihan lebihan makanan di bazar Ramadan seluruh negara. Sukarelawan berperanan mengenal pasti lebihan makanan, mengurus pengasingan makanan yang selamat dimakan serta menyelaras agihan kepada komuniti memerlukan, di samping meningkatkan kesedaran pengguna terhadap isu pembaziran makanan.

KPDN turut merakamkan penghargaan kepada Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia (GEMA) atas peranan melatih dan membimbing sukarelawan GPS melalui modul pengurusan lebihan makanan, sekali gus memastikan aspek keselamatan, kebersihan dan amalan terbaik dipatuhi.

Selain itu, peranan strategik ReMeal sebagai rakan penggerak turut diiktiraf dalam memastikan lebihan makanan yang dikumpulkan dapat diagihkan secara teratur dan dinikmati oleh komuniti memerlukan.

Ihsan Food Bank (i-FB) kini berkembang sebagai gerakan nasional berteraskan konsep Santuni Komuniti, Sayangi Alam dan Selamatkan Makanan yang menumpukan usaha menyelamatkan lebihan makanan selamat dimakan, mengurangkan pembaziran serta mengoptimumkan agihan kepada golongan memerlukan.

KPDN berharap kerjasama erat semua pihak akan terus memperkukuh pelaksanaan inisiatif di bawah Payung RAHMAH MADANI demi kesejahteraan rakyat sepanjang Ramadan dan seterusnya.
