Konflik Asia Barat: Kerajaan pantau warga Malaysia, setiap nyawa amat berharga
Perdana Menteri menegaskan bahawa keselamatan dan kebajikan setiap rakyat Malaysia sentiasa menjadi keutamaan kerajaan Ketika konflik di Asia Barat semakin meruncing susulan serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel.
Datuk Seri Anwar Ibrahim turut memberi jaminan bahawa Kerajaan MADANI sedang memantau perkembangan semasa secara berterusan.
“Setiap nyawa rakyat Malaysia amat berharga bagi saya, dan Kerajaan MADANI sedang memantau perkembangan dari semasa ke semasa serta mengambil segala langkah yang perlu bagi memastikan perlindungan dan kebajikan mereka sentiasa terjamin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam masa sama, Anwar turut mengajak rakyat untuk terus berdoa agar semua pihak yang terlibat diberikan perlindungan dan dipermudahkan urusan.
Beliau menzahirkan harapan agar rakyat Malaysia sentiasa berada dalam lindungan Allah SWT serta dijauhkan daripada sebarang bahaya.
“Kepada Allah SWT kita berserah, semoga mereka sentiasa dilindungi, dipermudahkan urusan dan dipelihara daripada segala bahaya.
“Hasbunallahu wa ni‘mal wakil,” kata Perdana Menteri.
Terdahulu, Anwar berkata, Malaysia dengan tegas menggesa Israel, AS dan Iran agar menghentikan segala tindakan provokatif dan kembali kepada meja rundingan diplomasi dan dialog.
“Sebarang tindakan bersifat provokatif hanya akan mencetuskan krisis lebih besar, menggugat kestabilan serantau dan berisiko mengheret lebih banyak negara ke dalam konflik yang sukar dibendung,” kata beliau lagi.
Semalam, Tentera Pertahanan Israel (IDF) dan AS melancarkan serangan mengejut ke atas Iran, sekali gus mencetuskan letupan kuat di sekitar ibu kota Tehran.
Pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, 86, kemudiannya dilaporkan terbunuh dalam serangan terkutuk itu.
Kompleks kediamannya di Tehran dilaporkan menjadi sasaran utama operasi ketenteraan berkenaan.
Malah, serangan Israel-AS yang menyasarkan sebuah sekolah rendah di selatan Iran mengakibatkan kematian seramai 108 murid.
BACA JUGA Usul kecam serangan Israel ke atas Iran dibawa ke Parlimen esok