Pemimpin tertinggi Iran Ayatollah Ali Khamenei terbunuh, lapor media Iran
Media Iran melaporkan pemimpin tertinggi negara itu, Ayatollah Ali Khamenei telah terbunuh dalam serangan Amerika Syarikat (AS)-Israel, dipetik Al Jazeera sebentar tadi.
Agensi berita Tasnim dan Fars dilaporkan mengesahkan kematian tokoh yang memainkan peranan penting dalam Revolusi Islam itu.
Khamenei, 86, syahid di pejabatnya ketika sedang “melaksanakan tugas yang diamanahkan kepadanya” pada awal pagi Sabtu, lapor Fars Iran dipetik Al Jazeera.
Anak perempuan, cucu, menantu perempuan dan menantu lelaki Pemimpin Agung Iran berkenaan turut terkorban.
Susulan itu, kerajaan Iran telah mengisytiharkan 40 hari berkabung di seluruh negara berkenaan serta cuti umum selama tujuh hari.
Sementara itu, Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) menyifatkan kematian Khamenei sebagai “kehilangan seorang pemimpin agung dan kami meratapi pemergiannya”.
Kenyataan itu turut menyebut bahawa “kesyahidan Khamenei di tangan pengganas paling kejam dan algojo kemanusiaan merupakan tanda legitimasi pemimpin agung ini serta pengiktirafan terhadap khidmat ikhlas beliau”.
IRGC menambah bahawa “tangan pembalasan rakyat Iran… tidak akan melepaskan mereka” selain menyatakan pendirian akan terus “teguh dalam menghadapi konspirasi dalam dan luar negara”.
Untuk rekod, Khamenei mengambil alih kepimpinan Republik Islam pada 1989 selepas kematian Ayatollah Ruhollah Khomeini.
Sebelum bergelar Pemimpin Tertinggi, beliau memimpin Iran sebagai presiden ketika Iran berdepan perang berdarah dengan Iraq pada era 1980-an.
BACA JUGA Sembang santai betul ni, PM Anwar santuni mahasiswa di Seri Perdana