Usul kecam serangan Israel ke atas Iran dibawa ke Parlimen esok
Perdana Menteri memaklumkan satu usul khas akan dibawa ke Parlimen esok bagi mengecam serangan ganas Israel ke atas Iran.
Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan serangan itu sebagai satu kezaliman serta pelanggaran undang-undang antarabangsa.
Beliau berkata, pihak pembangkang telah dihubungi berkaitan perkara tersebut bagi mendapatkan sokongan terhadap usul berkenaan.
“Esok saya akan bawa usul di Parlimen Malaysia supaya kita luluskan usul mengutuk serangan biadab dan ganas Israel dengan sokongan Amerika Syarikat,” katanya.
Anwar berkata demikian pada Majlis Berbuka Puasa Perdana Menteri Bersama Pemimpin Masyarakat Tempatan di Kompleks Seri Perdana, di Putrajaya, hari ini.
Terdahulu, serangan besar-besaran Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas Iran telah membunuh Pemimpin Tertinggi negara itu, Ayatollah Ali Khamenei, 86.
Kompleks kediaman tokoh pemimpin Iran itu di Tehran dilaporkan menjadi sasaran utama operasi ketenteraan berkenaan.
Sebelum itu, Presiden AS, Donald Trump, mendakwa Khamenei maut dalam serangan yang dianggapnya sebagai usaha menamatkan ancaman keselamatan terhadap AS.
Mengulas lanjut, Anwar menegaskan serangan berkenaan merupakan kebiadaban berulang oleh rejim Zionis dengan sokongan AS.
“Suatu kezaliman, suatu pelanggaran hukum, satu kebiadaban yang berulang. Oleh itu, kita telah keras mengutuk,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut menyampaikan ucapan takziah atas pemergian Khamenei.
BACA JUGA CEC DAP kecam serangan AS-Israel, gesa genjatan senjata dipatuhi