Melenting PM sebut ‘melalak’, ini penjelasan buat kaki ‘spin’
Pembangkang dilihat cuba ‘spin’ apabila Perdana Menteri menyebut tentang ‘melalak’ kelmarin dengan menuduh kerajaan kononnya tidak mengambil tindakan terhadap insiden penghinaan agama Islam, termasuk perbuatan biadab memijak al-Quran.
Malah, ada yang mengaitkan dengan tindakan terhadap sekumpulan penyampai radio dan kakitangan stesen radio Era FM pada tahun lalu berhubung dakwaan mempersenda tarian kavadi Hindu.
Pengguna Threads, Amirul Asyraf tampil memberi penjelasan bagi memperbetulkan fakta berkaitan naratif jahat pihak yang digelarnya ‘penunggang’ itu.
Beliau berkata, Nabil iaitu salah seorang penyampai radio stesen terbabit tidak pernah dihukum dan tidak pernah ditahan pihak berkuasa.
Nabil juga, tegasnya, tidak pernah direman, tidak pernah didakwa di mahkamah serta tidak pernah dijatuhkan sebarang hukuman oleh mana-mana mahkamah.
Menurutnya, apa yang berlaku, Nabil bersama rakan-rakannya diarahkan hadir ke Batu Caves bagi memohon maaf kepada komuniti Hindu susulan isu yang tercetus itu.
Katanya, arahan berkenaan bukan datang daripada Kerajaan MADANI, sebaliknya daripada pihak majikan individu terbabit sendiri.

Justeru, tegasnya, rasa tidak puas hati terhadap tindakan yang dikenakan terhadap kakitangan stesen radio itu tidak harus ditujukan kepada kerajaan MADANI.
“Siapa bos dia? Bos dia adalah seorang berbangsa India. Kalau adik guna ChatGPT, adik tahulah siapa bos Nabil tu.
“Jadi, Nabil dan kawan-kawan diarah pergi ke sana, oleh bos dia.
“Oleh kerana Nabil ni kerja makan gaji, nak tak nak kena ikut arahan bos dia.
“Jadi, kalau adik nak maki, makilah bos dia. Kenapa nak maki Madani pula?” tulisnya.
Penjelasan Amirul yang meraih hampir 5,000 tanda suka setakat ini turut menyebut bahawa kerajaan MADANI sama sekali tidak mengambil tindakan terhadap Nabil.
“Tangkap pun tidak. Reman pun tidak. Dakwa pun tidak. Yang Madani sentuh tu ialah bos dia.
“Bos dia pula yang didenda RM250,000 oleh Madani. Habis tu adik maki Madani kenapa?
“Pergilah maki bos Nabil tu,” tempelaknya.
Pada 11 Mac tahun lalu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dilapor mengenakan kompaun RM250,000 kepada Maestra Broadcast Sdn Bhd, pengendali Era FM kerana muat naik kandungan jelik melampau di TikTok.
Kompaun itu dikenakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (yang dipinda pada 11 Februari 2025) serta dikeluarkan dengan kelulusan Jabatan Peguam Negara.
Sehubungan itu, Amirul menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terperdaya dengan naratif jahat pihak yang digelarnya sebagai “penunggang”.
“Jadilah orang yang bijak macam abang ni.
“Orang bijak takkan mudah percaya dengan pembohongan pembangkang,” tegasnya sambil sempat berseloroh.
Malam kelmarin, Perdana Menteri, tanpa menyatakan konteks, membidas pengkritiknya menerusi satu hantaran bersifat tersirat di platform X.
“Melalak ‘tiada tindakan’ tidak menjadikannya benar.
“Negara ini ditadbir oleh undang-undang, bukan emosi dan spekulasi di ruangan komen,” kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beberapa jam kemudian, agensi berita nasional Bernama melaporkan kenyataan Perdana Menteri itu berkaitan insiden seorang pelajar bukan Islam memuat naik gambar al-Quran dipijak.
BACA JUGA Lakonan berterusan sampai PRU16, sentimen kaum dan agama ‘nyawa’ pembangkang