RUU had tempoh jawatan PM: Semua MP PH sokong, ini senarai MP kerajaan tidak hadir

Semua Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) hadir dan menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan tempoh 10 tahun jawatan Perdana Menteri.

Namun, menurut pemerhati politik Jason Yew, lapan Ahli Parlimen kerajaan dikatakan tidak hadir.

Mereka adalah Ahli Parlimen Bukit Gantang, ⁠Lawas, ⁠Tenom, ⁠Sembrong, ⁠Libaran, ⁠Tapah, ⁠Julau dan Keningau.

Sementara itu, Ahli Parlimen Subang dari PKR, Wong Chen menyifatkan kegagalan Dewan Rakyat untuk meluluskan RUU tersebut sebagai tamparan besar kepada Kerajaan MADANI.

“Ia juga satu kegagalan pentadbiran yang memalukan kerana gagal menjejaki semua Ahli Parlimen kerajaan serta memastikan kehadiran penuh mereka.

“Hampir semua hadir, namun bagi pindaan Perlembagaan, jumlah undi yang diperlukan ialah 148 Ahli Parlimen.

“Kita perlu mengetahui berapa ramai Ahli Parlimen kerajaan MADANI yang gagal hadir.

“Semua Ahli Parlimen PKR hadir dan mengundi menyokong,” kata Wong Chen lagi.

Hari ini, RUU Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan tempoh 10 tahun jawatan Perdana Menteri gagal meraih sokongan dua pertiga Ahli Parlimen.

Hanya 146 Ahli Parlimen menyokong manakala 32 Ahli Parlimen tidak hadir dan 44 Ahli Parlimen lagi berkecuali.

Sekurang-kurangnya 148 sokongan Ahli Parlimen diperlukan untuk sebarang kelulusan RUU pindaan Perlembagaan Persekutuan.

Senarai penuh 32 Ahli Parlimen tidak hadir hari ini akan dapat diketahui esok menerusi hansard yang akan dimuat naik menerusi laman web rasmi Parlimen Malaysia.

BACA JUGA Anwar dah usahakan had tempoh jawatan PM, pembangkang langsung tak sokong