Semua MP DAP hadir sokong pindaan had tempoh PM, Loke seru kecam MP tidak hadir

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook meluahkan rasa dukacita selepas pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun gagal diluluskan di Parlimen sebentar tadi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata, pindaan tersebut memerlukan sokongan majoriti dua pertiga Ahli Parlimen, iaitu sekurang-kurangnya 148 undi daripada ahli yang hadir secara fizikal bagi membolehkan ia diluluskan.

Bagaimanapun, keputusan undian menunjukkan hanya 146 Ahli Parlimen menyokong pindaan berkenaan iaitu kurang dua undi daripada jumlah minimum yang diperlukan.

“Saya ingin menegaskan bahawa kesemua 40 Ahli Parlimen DAP hadir untuk menyokong pindaan tersebut.

“DAP telah berusaha secara bersungguh-sungguh untuk merealisasikan agenda reformasi tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Menteri Pengangkutan berkenaan menggesa orang ramai yang menginginkan perubahan institusi supaya mengecam dan mempersoalkan tindakan Ahli Parlimen yang tidak hadir atau tidak menyokong pindaan tersebut, termasuk dalam kalangan blok pembangkang.

“Masyarakat sivil dan pengundi yang ingin melihat reformasi institusi dalam negara perlu mengecam dan mempersoalkan Ahli-ahli Parlimen yang tidak hadir Dan tidak menyokong pindaan ini termasuk blok pembangkang!,” tegas Loke lagi.

Seramai 32 Ahli Parlimen tidak hadir manakala 44 Ahli Parlimen lagi berkecuali sekaligus menggagalkan Dewan Rakyat untuk meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 mengehadkan tempoh maksimum 10 tahun jawatan Perdana Menteri.

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengumumkan keputusan undi belah bahagian itu selepas ia dibahaskan oleh seramai 41 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

BACA JUGA Anwar dah usahakan had tempoh jawatan PM, pembangkang langsung tak sokong