MP Bukit Gantang tak undi had dua penggal sebab nak Anwar jadi PM lebih lama
Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, beliau tidak mengundi Rang Undang-Undang (RUU) bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal kerana mahukan Datuk Seri Anwar Ibrahim mentadbir lebih lama.
Syed Abu Hussin berkata, beliau tidak bersetuju dengan RUU baharu ini kerana jika seseorang pemimpin itu bagus, mereka patut dibiarkan berkhidmat lebih lama lagi
“Saya tidak setuju kerana kalau bagus, biarlah orang itu berkhidmat lebih lama lagi. Tempoh 10 tahun terlalu singkat, mungkin boleh 15 tahun.
“Saya adalah Ahli Parlimen Bebas dan penyokong PMX (Datuk Seri Anwar Ibrahim), saya nak dia jadi Perdana Menteri lama sebab dia bagus,’’ katanya memetik portak Scoop.
Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun tidak memperoleh sokongan dua pertiga Ahli Dewan Rakyat.
Keputusan undi belah bahagian menyaksikan 146 Ahli Parlimen bersetuju, 32 tidak hadir dan 44 lagi tidak mengundi.
BACA JUGA Peluang hadkan jawatan PM dah ada tapi pembangkang tolak reformasi