Takiyuddin minta maaf kes dakwaan terhadap APMM, di bulan mulia ini, saya terima, kata Speaker
Sempena bulan Ramadhan yang mulia ini, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul menerima permohonan maaf ahli Parlimen Pas dari Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang mengakui kesilapannya terhadap dakwaan mengaitkan latihan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dengan peristiwa Memali pada Oktober lalu.
Johari memutuskan berlaku kekhilafan dalam isu itu dan Takiyuddin sudah membuat memohon maaf mengenainya pada 4 Disember tahun lalu.
“Setelah menerima sejumlah dokumen dari Ahli Parlimen Kota Bharu dan jumpa semua pihak termasuk ketua pengarah APMM, ketua polis Terengganu dan ketua polis Daerah Marang dan saya putuskan ada kekhilafan.
“Maknanya hari ini juga, Kota Bharu sudah pun memohon maaf. Saya rasa dalam bulan Ramadan yang baik ini, saya terima baik permohonan maaf itu,” katanya di Dewan Rakyat.
Selepas sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini, Takiyuddin yang juga ketua whip Perikatan Nasional (PN), sekali lagi memohon maaf berhubung kenyataan yang mengaitkan latihan APMM dengan peristiwa Memali semasa perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2026 bagi KDN.
22 Oktober 2025 lalu, Takiyuddin meminta penjelasan segera daripada Kementerian Dalam Negeri berhubung satu insiden yang didakwa melibatkan latihan komando Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Masjid Rusila, Marang, Terengganu “seumpama peristiwa Memali.”
Takiyuddin (PN-Kota Bharu) mendakwa sekumpulan 10 hingga 15 individu menaiki lima kenderaan memasuki Masjid Rusila tanpa kebenaran.
Tindakan itu, katanya, bukan sahaja menimbulkan ketakutan malah mencetuskan keresahan dalam kalangan jemaah.
“Apabila ditegur oleh orang ramai yang berada disitu mereka menjawab kami polis. Masuk dalam masjid pakai kasut, memasuki kawasan (solat) perempuan dan melakukan penggeledahan dan sebagainya menimbulkan rasa cukup tidak senang dikalangan rakyat yang berada disitu.
Dalam pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, Takiyuddin berkata beliau menerima aduan, dokumen dan rakaman CCTV yang menunjukkan sekumpulan antara 10 hingga 15 individu menaiki lima kenderaan memasuki kawasan masjid sekitar jam 10 pagi.
Takiyuddin menambah bahawa beliau bertanggungjawab atas kenyataan yang dibuat di Dewan dan menuntut penjelasan jelas sama ada insiden itu merupakan latihan rasmi dan siapa memberi arahan pelaksanaannya.
Beliau juga memberi amaran bahawa jika latihan sebegitu membabitkan elemen yang mengancam keselamatan, ia wajar diberi perhatian serius oleh kerajaan.
BACA JUGA Tak pernah lantik bukan Islam di pejabat Exco Agama, Fahmi bagi 24 jam turunkan infografik palsu