Tiada bukti pemuda pijak al-Quran peluk Islam, bapa tidak tahu, rekod mualaf pun tiada
Belum ada bukti bahawa pelajar, S.Vikneswaran yang memijak al-Quran sudah memeluk Islam.
Bapa pemuda berkenaan, K Selvanathan tidak dapat mengesahkan status sebenar agama anaknya itu ketika ditanyakan peguam tertuduh, Muhammad Amirull Afiqq Mohamad Lokman di Mahkamah Sesyen Kuantan pagi tadi.
Amirull berkata, Selvanathan tidak mempunyai sebarang maklumat sama ada anaknya pernah mengucap dua kalimah syahadah.
“Dia betul-betul tak tahu, tak pasti mengenai dakwaan itu.
“Dia hanya mengetahui perkara berkenaan (Vikneswaran memeluk Islam) semalam, selepas dakwaan mengenainya tersebar di media sosial,” katanya kepada media.
Semalam, personaliti, Firdaus Wong Wai Hung, mendakwa pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) itu seorang mualaf.
Menurutnya, Vikneswaran, 21, yang memeluk Islam pada 20 April tahun lalu menunjukkan kesungguhan tinggi untuk memeluk agama Islam sehingga berulang kali menghubunginya bagi mendapatkan bimbingan.
Namun, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) mengesahkan nama lelaki yang tular kerana memijak al-Quran itu tidak ada dalam rekod pendaftaran pengislaman.
Pemeriksaan silang
Semakan dalam pangkalan data mendapati nama Vikneswaran tidak tersenarai sebagai mualaf yang berdaftar di bawah seliaan MUIP, kata Ketua Pendaftar Mualaf Pahang, Asmadi Abdul Rahman.
Beliau berkata, pemeriksaan silang turut dibuat dengan pihak berkuasa agama di Negeri Sembilan, Selangor dan Kuala Lumpur bagi mendapatkan pengesahan lanjut.
Asmadi berkata, pihaknya juga telah cuba menghubungi Firdaus Wong bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung dakwaan yang dibuatnya sebelum ini tetapi masih belum mendapat reaksi balas.
Pagi tadi, Vikneswaran mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencemar al-Quran dan membuat hantaran komunikasi jelik melampau selepas didakwa di hadapan hakim Harmi Thamri Mohamad.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira jam 1.30 petang pada 22 Februari lalu di sebuah rumah di Taman Seri Mahkota Aman, Kuantan, Pahang.
Dia didakwa mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana membuat dan memulakan suatu hantaran komunikasi yang bersifat jelik melampau dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui aplikasi Threads.