Siasatan projek RM1.1 bilion: SPRM cari bekas pegawai Rafizi

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mencari seorang bekas pegawai kepada mantan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, bagi membantu siasatan berhubung perjanjian bernilai RM1.1 bilion antara kerajaan dan sebuah firma asing.

Dalam satu kenyataan, SPRM memaklumkan pihaknya sedang menjejaki Chai Jin Shern, yang juga dikenali sebagai James Chai.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan individu berkenaan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat Hafidz Abd Halim di talian 017-5046503.

Menurut SPRM, alamat terakhir Chai Jin Shern yang diketahui ialah 10, Jalan Nikel 7/26A, Seksyen 7, 40000 Shah Alam, Selangor.

Dia sebelum ini adalah pegawai tugas-tugas khas kepada Rafizi ketika Ahli Parlimen Pandan berkenaan memegang jawatan menteri ekonomi.

Graduan undang-undang dari Universiti Oxford itu meninggalkan Kementerian Ekonomi selepas Rafizi meletakkan jawatan sebagai menteri pada Mei tahun lalu.

Minggu lalu, satu sumber SPRM dilapor berkata, ketua setiausaha Kementerian Ekonomi antara beberapa saksi yang akan dipanggil dalam siasatan berhubung perjanjian bernilai RM1.1 bilion itu.

Sumber berkenaan berkata, perjanjian tersebut didakwa diluluskan secara tergesa-gesa walaupun tidak mendapat persetujuan kementerian kewangan serta kementerian pelaburan, perdagangan dan industri.

Beberapa individu, dakwa sumber itu lagi, diberikan jawatan kanan dalam syarikat asing terbabit selepas mereka berhenti berkhidmat dengan kerajaan.

BACA JUGA Jalan sesak, masuk hospital, upacara sembahyang antara alasan 8 MP kerajaan