Tarik rayuan bukan perkara aneh, kes Anwar diteruskan di Mahkamah Tinggi
Keputusan Datuk Seri Anwar Ibrahim menarik balik rayuan bagi merujuk lapan persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan, antaranya sama ada Perdana Menteri mempunyai imuniti daripada tindakan saman, adalah dibuat selepas mendapat pandangan dan nasihat perundangan terkini.
Sumber PMO menjelaskan, ini adalah perkara yang dibenarkan oleh peraturan mahkamah dan bukan sesuatu yang aneh.
“Kalau aneh, peguam boleh masukkan permohonan untuk bantah,” katanya.
Mengenai kos RM50,000 yang perlu dibayar kepada Muhammed Yusoff Rawther, ia juga merupakan perkara normal apabila seseorang itu menarik balik rayuan yang difailkannya.
“Memandangkan permohononan rayuan dikemukakan oleh DSAI dan kini DSAI menarik semula rayuan tersebut, adalah normal bila mana kos itu ditanggung oleh pihak yang telah menarik semula rayuan itu.
“Kos tersebut ditetapkan oleh mahkamah setelah mengambil kira perjalanan kes dan kos yang telah dikeluarkan oleh pihak-pihak.
“Dengan menarik semula rayuan tersebut, maka kes ini dikembalikan ke mahkamah tinggi kuala lumpur untuk perbicaraan.
“Setelah dinasihati oleh barisan peguam, DSAI kini memilih untuk meneruskan kes ini di mahkamah tinggi,” jelasnya.
Tambahnya, kesemua ini dilakukan mengikut peraturan-peraturan yang ditetapkan, bukan menyalahguna proses mahkamah seperti yang digembar-gemburkan oleh pihak yang sakit hati.
“Semua tindakan ini dibuat mengikut ruang lingkup proses dan peraturan mahkamah yang dibenarkan,” ujarnya.
Pada 4 Jun tahun lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Anwar bagi merujuk lapan persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan, antaranya sama ada Perdana Menteri mempunyai imuniti daripada tindakan saman.
Anwar kemudian memohon Mahkamah Persekutuan menjawab persoalan, termasuk sama ada mengikut Perkara 39, 40 dan 43 Perlembagaan Persekutuan, seorang perdana menteri yang sedang memegang jawatan, menikmati kekebalan terhad daripada tindakan saman berhubung dakwaan perlakuan peribadi yang berlaku sebelum pelantikan beliau.
Dengan keputusan beliau menarik balik rayuan di Mahkamah Persekutuan, Anwar akan meneruskan kes samannya di Mahkamah Tinggi
BACA JUGA Konflik Timur Tengah: Apa nasib harga subsidi RON95? Ini jawapan Menteri Ekonomi