Alih dana RM3 juta: Malaysiakini lapor polis

Wakil lembaga pengarah Malaysiakini telah membuat laporan polis berhubung pengalihan RM3 juta daripada anak syarikatnya kepada sebuah entiti pihak ketiga.

Entiti tersebut disyaki menjalankan skim pelaburan tidak berlesen.

Menerusi kenyataan Lembaga Pengarah Mkini Group hari ini, tindakan tersebut diambil susulan penemuan siasatan dalaman dengan bantuan peguam bebas dan perunding kewangan.

Menurut kenyataan itu, sebanyak RM3 juta daripada syarikat-syarikat subsidiari didapati telah dialihkan kepada entiti pihak ketiga yang dipercayai mengendalikan skim pelaburan tanpa lesen.

“Pengalihan dana tersebut berlaku antara Mac 2023 hingga Mac 2024 dan difasilitasi oleh bekas kakitangan utama Malaysiakini.

“Perkara ini tidak dikesan sebelum ini kerana akaun syarikat yang diaudit bagi tahun 2023 dan 2024 menyatakan dana tersebut berada dalam deposit tetap di sebuah bank berlesen,” menurut kenyataan itu.

Pengasas bersama, Steven Gan dan Premesh Chandran, yang merupakan pengarah bukan eksekutif Mkini Group, menyatakan kekecewaan dan kekesalan yang mendalam.

“Kami amat terkejut dan hancur dengan tindakan tanpa kebenaran ini,” kata Gan, bekas ketua pengarang.

“Dikhianati oleh sebahagian kakitangan yang paling kami percayai merupakan satu tamparan besar.

“Kami bertekad untuk mendapatkan semula dana tersebut dan memperketatkan pengawasan bagi mengelakkan perkara seperti ini berulang,” katanya.

Sementara itu, Premesh berkata, walaupun pengalihan dana itu memberi kesan kepada kewangan syarikat, operasi teras Malaysiakini tidak terjejas.

“Dana ini dikumpulkan oleh Malaysiakini sepanjang sedekad yang lalu dan merupakan sebahagian penting daripada rizab kami.

“Pengalihan dana ini yang dilakukan oleh bekas rakan sekerja menjejaskan ketahanan kewangan kami dengan serius, serta mengganggu misi kami untuk menyatakan kebenaran kepada pihak berkuasa,” katanya.

Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa lembaga pengarah akan memberikan maklumat lanjut apabila maklumat tambahan diperoleh, tertakluk kepada siasatan dan proses perundangan yang sedang berjalan.

BACA JUGA ‘Kami dah bagi tahu lama dah, Mahiaddin tak percaya ini sikap Pas’