‘Kami dah bagi tahu lama dah, Mahiaddin tak percaya ini sikap Pas’

Seorang bekas pemimpin Bersatu mendakwa bahawa Pas tidak akan menyokong Presiden Bersatu, Tan Sri Mahiaddin Yassin, sebagai calon Perdana Menteri ke-11 (PM11).

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad yang telah dipecat dari Bersatu bulan lalu berkata, perkara tersebut sebenarnya telah lama diketahui dan pernah dimaklumkan kepada Mahiaddin beberapa kali sebelum ini.

“Kami tahu lama dah. Malah, kami dah bagitahu kepada Tan Sri berkali-kali. Sudahnya kami yang kena pecat,” katanya menerusi media sosial hari ini.

Beliau berkata demikian susulan ‘perang mulut’ Bersatu-Pas yang berterusan apabila Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar membidas Mahiaddin berhubung isu calon Perdana Menteri blok tersebut.

Wan Fayhsal turut mendakwa bahawa bukan sahaja Pas, malah beberapa parti utama dari Sabah juga tidak akan menyokong Mahiaddin sebagai calon Perdana Menteri.

“Pas memang takkan sokong Tan Sri Muhyiddin jadi calon PM11! Bukan Pas saja banyak parti utama dari Sabah pun sama,” katanya.

Sehubungan itu, Wan Fayhsal berpendapat Bersatu boleh mempertimbangkan untuk keluar secara beransur-ansur daripada gabungan Perikatan Nasional (PN) kerana mendakwa parti itu tidak akan mendapat sokongan Pas dalam usaha menamakan Mahiaddin sebagai calon Perdana Menteri.

Bagaimanapun, katanya, Mahiaddin masih berpotensi menjadi calon Perdana Menteri melalui sokongan parti-parti dalam gabungan lain yang dirujuknya sebagai IPR.

BACA JUGA Rahim Tamby Chik anggap Bersatu ‘ala mafia’, sentiasa ‘pilih bulu’