Lapan parti teras Islam, Melayu dan Bumiputera cari titik persefahaman
Satu sejarah baharu tercipta apabila musyawarah melibatkan parti-parti politik berteraskan Islam, Melayu dan Bumiputera diadakan di ibu negara petang tadi bersamaan 15 Ramadan 1447H.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Musyawarah Isu-Isu Islam dan Bumiputera itu berlangsung di World Trade Centre Kuala Lumpur dengan menghimpunkan lapan parti politik utama.

Selain UMNO, tujuh lagi parti politik utama terbabit pertemuan itu ialah Pas, PKR, AMANAH, Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Berjasa, Kimma, dan Parti Ikatan Bangsa (Ikatan).
Menurut Asyraf, beliau diamanahkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk mempengerusikan musyawarah pertama tersebut yang dicetuskan oleh pemimpin berkenaan.

Katanya, inisiatif itu bertujuan menghimpunkan pelbagai parti politik tanpa mengira sama ada berada di blok kerajaan atau pembangkang demi kepentingan umat Islam.
“Musyawarah ini menjadi wahana penting untuk bertukar pandangan secara terbuka demi mencari titik persefahaman dalam perkara-perkara yang menyentuh kepentingan bersama yang melibatkan Islam, Melayu dan Bumiputera di negara ini,” ujarnya menerusi perkongsian di Facebook malam ini.

Beliau berkata, perbezaan pandangan dalam kalangan parti politik adalah lumrah dalam sistem demokrasi, khususnya antara parti yang berada dalam kerajaan dan pembangkang.

Namun, katanya, isu berkaitan kepentingan Islam, kedudukan orang Melayu serta masa depan Bumiputera harus menjadi titik temu yang mampu menyatukan semua pihak melangkaui perbezaan politik kepartian.

Dalam musyawarah tersebut, semua pihak turut mencapai kata sepakat untuk menubuhkan Sekretariat Musyawarah Parti-Parti Teras Islam, Melayu dan Bumiputera.
Sekretariat itu akan berperanan sebagai platform bagi membolehkan perbincangan, perundingan serta dialog terbuka dijalankan secara berterusan dalam isu-isu yang menyentuh kedudukan Islam, Melayu dan Bumiputera di negara ini.

BACA JUGA Alih dana RM3 juta: Malaysiakini lapor polis