Pas ingatkan jangan balas dendam selepas Mahiaddin halang Hamzah masuk PN
Seorang pemimpin Pas mengingatkan Perikatan Nasional (PN) supaya tidak mempamerkan imej ‘balas dendam’ sebaliknya bersikap lebih terbuka dalam memperkukuh blok pembangkang itu.
Bendahari Agung Pas, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, pimpinan PN perlu berjiwa besar dan tidak harus menyekat penyertaan mana-mana pihak yang berkongsi aspirasi sama demi masa depan negara.
Menurutnya, kepimpinan PN perlu menunjukkan kematangan politik dengan mengetepikan perselisihan lama bagi memastikan gabungan itu terus relevan sebagai kuasa politik arus perdana.
“Pimpinan perlu berjiwa besar, mengenepikan perselisihan dan pertelingkahan lama.
“Elakkan daripada mempamerkan sebarang imej yang menggambarkan kecenderungan untuk membalas dendam.
“Rakyat sentiasa memerhati dan menilai dengan penuh teliti,” katanya dalam kenyataan tanpa merujuk kepada mana-mana individu atau situasi.
Semalam, Presiden Bersatu, Tan Sri Mahiaddin Yassin dilapor menolak sebarang kerjasama antara beliau dengan Datuk Seri Hamzah Zainudin selepas ini termasuk juga jika bekas timbalannya itu mahu menyertai PN menerusi parti baharu.
Tegasnya, hak menerima keahlian dalam PN bukannya datang daripada satu pihak sahaja, sebaliknya dengan persetujuan parti komponen.
Hamzah yang dipecat Bersatu pada 13 Februari lalu dikatakan sedang dalam proses untuk mengambil alih dan mengetuai Parti Keluarga Malaysia.
BACA JUGA ‘Suarakan pandangan, ucap takziah pun boleh dikira dengan jari’