Perang Asia Barat: Bekalan makanan utama negara tidak terjejas

Perdana Menteri memberi jaminan bahawa bekalan makanan utama negara, khususnya beras, kekal stabil walaupun konflik yang memuncak di Asia Barat ketika ini.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat bersama pengurusan tertinggi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) di Wisma Tani tengah hari tadi.

Menurutnya, mesyuarat tersebut memberi ruang untuk mendengar perkembangan terkini inisiatif serta isu yang dihadapi kementerian, termasuk kesiapsiagaan dalam memastikan keterjaminan bekalan makanan negara susulan konflik di Asia Barat.

“Alhamdulillah, saya dimaklumkan bahawa bekalan makanan utama negara, khususnya beras, tidak terjejas,” kata beliau menerusi kenyataan.

Ini memandangkan, jelas Anwar, negara yang terheret dalam konflik yang dicetuskan rejim Zionis Israel dan Amerika Syarikat itu tidak memainkan peranan besar dalam pembekalan makanan kepada Malaysia.

“Saya tegaskan bahawa KPKM perlu terus memantau rapat perkembangan bekalan makanan negara dari semasa ke semasa kerana sekuriti makanan adalah perkara yang kritikal dan tidak boleh dikompromi,” katanya.

Pada masa sama, Anwar berkata, beliau turut memantau secara serius kemajuan projek pembangunan bagi mewujudkan ekosistem yang lebih kondusif untuk meningkatkan produktiviti sektor pertanian negara.

“Saya juga mengarahkan KPKM memastikan pelaksanaan projek dibuat mengikut jadual yang ditetapkan.

“Ikhtiar ini amat penting bagi mengurangkan kebergantungan negara terhadap produk import,” kata Perdana Menteri yang turut menunaikan solat Zuhur bersama warga KPKM usai mesyuarat.

Menteri Kewangan itu juga menghargai komitmen warga KPKM dan agensi dalam memastikan keterjaminan makanan negara demi kebajikan rakyat.

BACA JUGA Rahim Tamby Chik anggap Bersatu ‘ala mafia’, sentiasa ‘pilih bulu’