‘Suarakan pandangan, ucap takziah pun boleh dikira dengan jari’
Perdana Menteri meluahkan rasa kesal apabila menyaksikan kelemahan ketara dunia Islam dalam menyuarakan pendirian bersama terhadap konflik di Asia Barat dengan yang terbaharu serangan Israel dan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, serangan tersebut harus menjadi peringatan kepada negara Islam mengenai kepentingan memperkukuh perpaduan dan keberanian menyatakan pendirian.
“Perkembangan ini menggusarkan kita dan menunjukkan kelemahan ketara dunia Islam untuk menyuarakan pandangan secara bersama.
“Bukan untuk berperang, tetapi untuk menyatakan pendirian secara jelas pun tiada upaya.
“Boleh dikira dengan jari, (pemimpin Islam) yang mengucapkan takziah di atas kematian Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei dan keluarganya akibat peperangan itu,” katanya.
Anwar berkata demikian dalam Sesi Amanat Perdana Menteri Bersama Warga Kumpulan Felda, di di Menara Felda Kuala Lumpur hari ini.

Terbaharu, korban akibat serangan AS-Israel ke atas Iran melebihi 1,000 mangsa dengan Israel terus melancarkan serangan udara menyasarkan pasukan keselamatan di seluruh republik Islam itu.
Menteri Pertahanan AS, Pete Hegseth pula menegaskan Washington sedang berusaha menghancurkan kerajaan Iran di Tehran “tanpa belas kasihan”.
Iran melancarkan lebih banyak serangan balas serta memberi amaran mengenai kemusnahan infrastruktur ketenteraan dan ekonomi di seluruh Asia Barat.
Penderitaan Gaza
Dalam masa sama, Perdana Menteri mengingatkan masyarakat supaya tidak melupakan penderitaan rakyat di Gaza dan Palestin yang menurutnya berdepan kekejaman serta kemusnahan berterusan sejak sekian lama.
Menurut Anwar, penderitaan rakyat Palestin yang membabitkan kehilangan nyawa orang awam termasuk wanita dan kanak-kanak serta kemusnahan kemudahan awam seperti hospital dan sekolah sewajarnya menjadi peringatan kepada umat Islam mengenai pentingnya solidariti dan kesatuan.
Justeru, Perdana Menteri menyeru umat Islam mengambil iktibar daripada perkembangan semasa dengan memperkukuh perpaduan serta memperbaiki kekuatan dalaman masyarakat dan negara masing-masing.
Dalam masa sama, beliau menegaskan Malaysia perlu terus memanfaatkan keamanan dan kestabilan yang dinikmati ketika ini bagi membangunkan negara serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.
“Kita masih mempunyai keupayaan untuk menjaga pembangunan negara, sekolah, hospital dan kemudahan rakyat.
“Gunakan keamanan yang ada ini sebaik mungkin untuk memastikan masa depan negara terus terjamin,” kata Perdana Menteri lagi.
BACA JUGA Yang pasti Mahiaddin juga bukan calon PM, kata Samsuri