Tiada dalam negeri, telefon SPRM disekat punca notis kepada James Chai

Tindakan mengeluarkan notis untuk mencari bekas pegawai bekas Menteri Ekonomi dibuat selepas beliau gagal dihubungi apabila nombor telefon pegawai SPRM disekat, kata SPRM.

“Pegawai penyiasat SPRM telah membuat beberapa percubaan untuk menghubungi James Chai yang telah dikesan berada di United Kingdom, sebelum notis tersebut dikeluarkan.

“Mulai 24 Februari 2026, pegawai penyiasat telah menghubungi aplikasi whats app talian kepunyaan James Chai tetapi tidak dibalas.

“Setelah beberapa percubaan untuk menghubunginya tanpa respons, akhirnya nombor pegawai penyiasat telah disekat (block) oleh talian kepunyaan James Chai pada 26 Februari 2026.

“Justeru, dakwaan bahawa SPRM tidak cuba menghubungi beliau sebelum mengeluarkan notis tersebut adalah tidak benar sama sekali,” kata satu kenyataan media SPRM.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merujuk kepada kenyataan awam terkini oleh Chai Jin Shern (James Chai) yang cuba menggambarkan dirinya sebagai mangsa tindakan penguatkuasaan oleh Suruhanjaya ini.

Penjelasan ini dibuat SPRM ekoran dakwaan James Chai dalam satu tulisannya yang menyerang SPRM dan mengaitkannya dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Cubaan untuk menggambarkan prosedur siasatan yang lazim sebagai tindakan menzalimi individu adalah tidak wajar dan berniat jahat.

“Naratif sedemikian bukan sahaja mengelirukan masyarakat, malah berpotensi menjejaskan keyakinan awam terhadap proses penguatkuasaan undang-undang yang sah, khususnya ketika siasatan masih berjalan,” katanya.

SPRM menegaskan bahawa Suruhanjaya ini sentiasa berpegang kepada “presumption of innocence” atau prinsip seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya.

“Oleh itu, seseroang yang dipanggil untuk membantu siasatan tidak bermaksud orang itu bersalah atau telah melakukan satu kesalahan.

“SPRM ingin menegaskan bahawa tiada sesiapa yang berada di atas undang-undang. Proses siasatan akan diteruskan secara profesional dan berasaskan bukti, dan mana-mana individu yang dipanggil untuk membantu siasatan sewajarnya memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa, bukannya mengelak atau sengaja mewujudkan naratif awam yang mengelirukan,” katanya.

Bagi SPRM, tugas dan tanggung jawab James Chai sebagai seorang warganegara adalah memberi kerjasama kepada pihak berkuasa apabila timbul keperluan dan bukannya memberikan alasan yang tidak munasabah dan menimbulkan persepsi negatif terhadap pihak penguat kuasa.

“SPRM akan terus melaksanakan tanggungjawabnya secara profesional, bebas dan berlandaskan bukti serta kedaulatan undang-undang, tanpa takut atau pilih kasih,” kata kenyataan itu.

SPRM memandang serius kenyataan tersebut kerana beberapa dakwaan yang dibuat adalah tidak tepat, mengelirukan serta memberi gambaran yang salah kepada masyarakat mengenai prosedur siasatan yang dilaksanakan oleh SPRM.

Sehubungan itu, beberapa fakta perlu diperjelaskan, kata satu kenyataan yang dikeluarkan SPRM.

Sidang media yang dirujuk merupakan sidang media bulanan SPRM yang diadakan secara berkala bagi memaklumkan kepada pihak media mengenai perkembangan beberapa siasatan yang sedang berjalan.

Antara kes yang disentuh termasuk Op Middlemen yang berjaya membongkar sindiket orang tengah yang menguruskan rasuah kepada pegawai penguat kuasa bagi membolehkan kenderaan berat melanggar peraturan keselamatan jalan raya, kes e-waste haram yang membabitkan siasatan ke atas Jabatan Alam Sekitar, Op Heart, siasatan melibatkan IJM, serta Op Godfather yang berkaitan kes Toh Puan Nai’mah Ab Khalid, ahli keluarga dan sekutunya.

Oleh itu, dakwaan bahawa sidang media tersebut diadakan semata-mata untuk menyasarkan James Chai adalah tidak benar dan tidak berasas sama sekali, katanya.

Notis Mengesan Individu

Menurut SPRM, pengeluaran Notis Mengesan Individu/Saksi untuk Bantu Siasatan merupakan prosedur siasatan standard yang digunakan oleh SPRM dan agensi penguatkuasaan lain.

Notis tersebut hanya dikeluarkan apabila pelbagai usaha untuk menghubungi individu berkenaan gagal, termasuk melalui panggilan telefon, lawatan ke alamat terakhir yang diketahui atau kaedah lain yang munasabah.

“Perlu ditegaskan bahawa Notis Mengesan bukan satu tuduhan jenayah dan tidak membawa sebarang kesimpulan bahawa individu berkenaan telah melakukan kesalahan. Ia satu Langkah bagi mengesan individu yang diperlukan untuk membantu siasatan,” kata SPRM.

Dalam siasatan ini, seramai 12 individu termasuk seorang Menteri Persekutuan telah dipanggil dan kesemua telah memberikan kerjasama kepada SPRM.

“Sekiranya James Chai tiada apa yang hendak disembunyikan, beliau harus tampil untuk memberi Kerjasama,” katanya.

Sebagai makluman, SPRM secara purata mengeluarkan antara dua hingga lima Notis Mengesan Individu setiap minggu bergantung kepada keperluan siasatan.

Beberapa individu termasuk dari Perkasa, sebuah NGO yang dikaitkan dengan Datuk Ibrahim Ali yang rapat dengan Tun Dr Mahathir Mohamad telah membuat laporan kepada SPRM berkaitan dengan projek bernilai RM1.11 billion yang diuruskan oleh Kementerian Ekonomi sebelum ini.

Selepas menterinya meletakkan jawatan, kerajaan mendapati projek ini sukar untuk diteruskan sedangkan ia melibatkan wang yang sangat besar.

Bekas Menteri Ekonomi Rafizi Ramli menafikan projek itu tergesa-gesa dan tiga kementerian terlibat dengannya.

BACA JUGA Siasatan projek RM1.1 bilion: SPRM cari bekas pegawai Rafizi