Aktivis bantah tentera AS guna AI serang Iran, gelombang boikot cetus lonjakan kadar ‘uninstall’

Kumpulan aktivis bangkit membantah penggunaan kecerdasan buatan (AI) oleh tentera Amerika Syarikat (AS) dalam perang terhadap Iran.

Mereka juga menuntut supaya ChatGPT diboikot selepas OpenAI, syarikat yang membangunkan teknologi tersebut, menjalin kerjasama dengan Jabatan Pertahanan AS.

Penggunaan AI dalam operasi ketenteraan, termasuk untuk membantu memilih sasaran serangan, telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pakar dan aktivis mengenai implikasi etika serta tahap kawalan manusia dalam peperangan moden.

Menurut penganalisis Muhammad Azmi Jamaludin, ChatGPT berdepan dengan gelombang boikot digital paling besar dalam sejarah AI apabila OpenAI secara rasmi meminda polisi mereka untuk membenarkan penggunaan AI bagi tujuan ketenteraan.

“Mereka kini telah menandatangani perjanjian kerjasama dengan pihak Pentagon untuk kegunaan ketenteraan.

“Isu ini menjadi perdebatan hangat apabila pesaing utama mereka, Anthropic pembangun aplikasi Claude memilih untuk menolak tawaran tersebut,” jelasnya.

Beliau berkata, Anthropic berpegang pada prinsip bahawa teknologi AI tidak sepatutnya terlibat dalam pembangunan senjata atau pengawasan massa.

“Ramai pengguna bimbang kerana setiap interaksi dan data yang kita masukkan ke dalam ChatGPT, secara tidak langsung digunakan untuk melatih sistem yang kini dipegang oleh pihak ketenteraan.

“Inilah yang mencetuskan lonjakan kadar uninstall sehingga 295 peratus.

“Sekarang ramai pengguna ChatGPT telah beralih ke Claude sebagai tanda protes,” kata beliau lagi.

BACA JUGA Malaysia catat rekod pelaburan tertinggi RM426.7 bilion, bukti keyakinan dunia terhadap Kerajaan MADANI