Aktivis janji serang isu kuil haram di negeri pembangkang
Aktivis tanah, Tamim Dahri Abdul Razak, menyatakan komitmennya untuk terus membangkitkan isu pembinaan rumah ibadat yang didakwa tidak sah di beberapa negeri yang ditadbir pembangkang.
Dalam satu kenyataan di media sosial lewat malam tadi, beliau yang menyatakan hasrat untuk menjadi ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, akan memberi komitmen penuh untuk menumpukan perhatian terhadap isu tersebut di negeri-negeri terbabit.
Menurutnya, beliau kecewa dengan kewujudan bangunan kuil yang didirikan di atas tanah persendirian milik orang Islam di Sungai Ular, Kulim, Kedah.
“Sebagai bakal ahli PKR, saya berjanji akan beri komitmen jitu untuk menyerang negeri-negeri di bawah takluk pembangkang.
“Saya betul-betul kecewa, bagaimana dalam sebuah negeri Islam (Kedah) ada pendudukan kuil haram di atas tanah persendirian milik orang Islam!” tegasnya menerusi hantaran di Facebook yang telah meraih lebih 9,000 tanda suka setakat ini.
Tamim, 59, turut berkongsikan rakaman dron menunjukkan lokasi kuil haram di atas tanah persendirian milik orang Islam itu berserta koordinat 5.352228, 100.583811.
Susulan itu, beliau turut menggesa Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) negeri, supaya menjalankan siasatan terhadap perkara tersebut.
“Mohon MB Sanusi siasat!” tegas pengasas platform TanahMalaya.com dan antara penggerak kempen Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) itu lagi.
BACA JUGA Ini sebabnya ratusan orang buka puasa dalam kereta dekat Plus Nilai