BN mungkin bertanding 85 kerusi bukan 115, ikut formula jumlah undi kedua tertinggi
Pengarah Komunikasi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam berkata, mengikut persefahaman antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH), kerusi yang sebelum ini dimenangi oleh Perikatan Nasional (PN) akan ditandingi oleh rakan dalam Kerajaan Perpaduan.
Jelasnya, parti yang akan bertanding ialah parti yang memperoleh jumlah undi kedua tertinggi di kawasan tersebut pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu.
Menurut Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu, formula berkenaan jelas, rasional dan berasaskan data malah berdasarkan kajian dalaman terhadap corak pengundian.
Justeru, katanya, potensi realistik BN di bawah persefahaman tersebut adalah BN akan bertanding sekitar 85 kerusi, bukannya 115 kerusi seperti tular dibangkitkan di media sosial.
Mengulas dakwaan tersebut, Lokman menyifatkan ia sebagai naratif palsu yang sengaja dicipta bagi menimbulkan kecurigaan terhadap parti tersebut.
Tegasnya, Majlis Tertinggi BN mahupun Pengerusi BN tidak pernah mengeluarkan kenyataan akan bertanding sejumlah kerusi seperti didakwa.
“Ia hanyalah fiksyen politik yang direka untuk mencetuskan ketegangan dalam Kerajaan Perpaduan.
“Musuh-musuh UMNO dan BN memutar-belitkan perkara ini sebagai tanda terdesak.
“Mereka mendakwa BN mahu menghapuskan persepsi bahawa ia hanya pemain kedua di belakang Pakatan Harapan (PH) dengan bertanding lebih banyak kerusi daripada PH.
“Tuduhan itu mungkin kedengaran dramatik, tetapi ia tidak bertahan apabila diteliti. Inilah fakta sebenarnya,” kata Lokman.
Sabotaj bukan analisis
Terdahulu, sebuah portal berita menyiarkan temubual dari sumber dalaman BN kononnya Pengerusi BN memberi kenyataan bahawa parti itu akan bertanding 115 kerusi dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) bagi menjadikan BN pemain utama dalam pilihan raya berkenaan.
Rancangan yang dilaporkan disokong oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi itu, akan mewajibkan semua kerusi yang tidak dimenangi oleh Pakatan Harapan (PH) di Semenanjung dan Sabah, diberi kepada BN untuk ditandingi.
Mengulas lanjut, Lokman menegaskan angka 115 itu hanya rekaan untuk menggambarkan BN sebagai angkuh dan kononnya merancang mengkhianati PH.
“Dakwaan 115 kerusi itu bukan analisis. Ia adalah sabotaj. Ia direka untuk mewujudkan ketidakpercayaan yang sebenarnya tidak wujud. Rakyat Malaysia berhak mendapat penjelasan, bukan manipulasi.
“Daripada naratif palsu 115 kerusi ini, pihak yang sama cuba memutar satu lagi cerita bahawa penjenamaan semula BN hanyalah kosmetik semata-mata.
“Itu juga tidak jujur. Penyesuaian BN mencerminkan landskap politik Malaysia yang baharu, yang ditentukan oleh kerjasama gabungan, rundingan, dan tanggungjawab membina kerajaan yang stabil,” kata Lokman lagi.
BACA JUGA Terengganu dijangka berdepan cuaca panas membahang hingga awal Syawal