Sekretariat Melayu Islam: Bukti Islam tidak terancam, Melayu tidak terpinggir

Pertemuan, persefahaman dan persetujuan pembentukan Sekretariat Musyawarah Parti-parti Teras Islam, Melayu dan Bumiputera membuktikan bahawa Islam tidak terancam, Melayu tidak terpinggir di negara ini.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof dalam satu kenyataannya menyambut baik penubuhan sekretariat ini.

Semalam wakil-wakil Umno, Pas, PKR dan AMANAH (gambar bawah) yang hadir telah bersetuju mewujudkan Sekretariat Musyawarah Parti-parti Teras Islam, Melayu dan Bumiputera.

(GAMBAR KENANGAN: Antara wakil-wakil parti politik utama yang hadir dalam pertemuan semalam).

“Pada saya, ini adalah langkah kehadapan yang sangat positif. Musyawwarah dan dialog sewajarnya menjadi medan mencari titik persamaan,” katanya yang turut dijemput menyertai mesyuarat penubuhannya namun tidak boleh hadir kerana sudah mempunyai program yang lain di masa yang sama.

Bagi Azli, secara tidak langsung sekreariat ini mengelakkan perbalahan yang sering dijadikan modal politik identiti yang sempit dan merugikan.

Ia sangat menepati Firman Allah SWT dalam Surah Al-Maidah, Ayat 2 yang bermaksud, “Dan bekerjasamalah atas perkara kebajikan dan takwa, jangan bekerjasama atas perkara dosa dan permusuhan.”

“Islam, Melayu dan Bumiputera bukan milik eksklusif mana-mana parti. Tidak ada mana-mana parti yang boleh mendakwa hanya mereka sahaja yang membela Islam, Melayu atau Bumiputera.

“Ia menjadi agenda teras bagi kebanyakan parti-parti di Malaysia. Hanya pendekatan dan pembawaan sahaja yang berbeza.

“Apa yang lebih utama, setiap perbincangan hendaklah benar-benar menjurus kepada usaha memperkukuh kesejahteraan umat Islam, memperkasa masyarakat Melayu dan Bumiputera serta memajukan negara secara adil dan inklusif,” kata Azli (gambar bawah) dalam kenyataan itu.

Pertemuan yang menghimpunkan lapan parti politik termasuk Umno, Pas, PKR dan AMANAH mencetuskan kejutan besar dalam landskap politik negara apabila pemimpin daripada blok kerajaan dan pembangkang dilihat duduk semeja membincangkan isu berkaitan Islam, Melayu dan Bumiputera.

Musyawarah yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur itu segera menarik perhatian ramai kerana ia dianggap sesuatu yang jarang berlaku dalam politik Malaysia yang sering dipenuhi pertembungan ideologi dan persaingan kuasa.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menjelaskan pertemuan tersebut tercetus daripada inisiatif Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mahu membuka ruang perbincangan melangkaui sempadan politik kepartian.

Menurutnya, walaupun parti-parti politik mempunyai perbezaan besar dalam pendekatan dan perjuangan, isu yang menyentuh kedudukan Islam, Melayu dan Bumiputera tidak sepatutnya dipolitikkan sehingga memecahbelahkan umat.

Lebih menarik perhatian apabila pertemuan itu turut disertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Berjasa, Kimma dan Parti Ikatan Bangsa (IKATAN), sekali gus menjadikan musyawarah tersebut sebagai antara pertemuan politik paling luas melibatkan pelbagai parti dalam satu meja rundingan.

BACA JUGA Umno tawar bekas ahli dipecat, gantung kembali semula