Isu kuil perlukan pendekatan dakwah dalam masyarakat majmuk
Kontroversi yang tercetus berhubung tindakan Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu dalam himpunan berkaitan isu kuil berhampiran Hospital Bukit Mertajam di Pulau Pinang baru-baru ini, membuka semula perbincangan lebih besar tentang bagaimana dakwah sepatutnya dilaksanakan dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia.
Isu tersebut mencetuskan pelbagai reaksi masyarakat kerana ia bukan sekadar menyentuh persoalan agama, tetapi turut berkait rapat dengan sensitiviti hubungan antara komuniti yang berbeza kepercayaan dalam negara ini.
Dalam satu kenyataan media, Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP, merangkap Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali menegaskan bahawa perbahasan yang timbul tidak seharusnya dilihat sekadar sebagai polemik individu, tetapi sebagai peluang untuk menilai kembali pendekatan dakwah dalam masyarakat majmuk.
Menurut beliau, latar belakang Zamri Vinoth sebagai seorang mualaf daripada keluarga yang mempunyai pengaruh Hindu dan Kristian, menjadikan beliau lebih cenderung mengkaji serta membandingkan kepercayaan-kepercayaan tersebut dengan Islam melalui pendekatan perbandingan agama.
Pendekatan tersebut bukan sesuatu yang baharu dalam sejarah dakwah kerana tokoh seperti Ahmed Deedat dan Zakir Naik, pernah menjadikan kaedah ini sangat popular melalui debat dan syarahan terbuka yang membandingkan teks agama bagi mempertahankan akidah Islam, serta menjawab pelbagai dakwaan terhadap agama tersebut.
Pendekatan itu pada suatu ketika memberi keyakinan kepada umat Islam bahawa akidah mereka mempunyai asas hujah yang kukuh dan mampu dipertahankan melalui perbincangan intelektual yang terbuka.
Namun begitu , sejarah juga menunjukkan bahawa pendekatan yang bersifat polemik atau konfrontatif mempunyai risiko besar apabila ia digunakan tanpa mengambil kira konteks masyarakat di sekelilingnya.
Dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia, cara penyampaian sesuatu hujah sering kali menjadi sama penting dengan isi hujah itu sendiri kerana ia melibatkan perasaan dan identiti komuniti yang berbeza agama.
Sheikh Umar turut mengingatkan bahawa Al Quran sendiri memberikan garis panduan yang jelas tentang kaedah dakwah melalui firman Allah dalam Surah an-Nahl ayat 125, yang menyeru manusia supaya mengajak ke jalan Tuhan dengan hikmah dan nasihat yang baik serta berdebat dengan cara yang paling baik.
Prinsip tersebut menunjukkan bahawa dakwah dalam Islam tidak pernah dipisahkan daripada kebijaksanaan dalam cara penyampaiannya.
Dalam ayat lain, Surah al-Anam ayat 108, juga mengingatkan umat Islam supaya tidak mencela sembahan yang disembah oleh penganut agama lain kerana perbuatan tersebut boleh menyebabkan mereka mencela Allah secara melampaui batas tanpa pengetahuan.
Peringatan ini memperlihatkan bahawa walaupun umat Islam meyakini kebenaran akidah mereka, Islam tetap menuntut adab dan hikmah dalam interaksi dengan penganut agama lain.
Sirah Nabi Muhammad SAW juga memberikan banyak teladan tentang bagaimana dakwah dilakukan dengan penuh kebijaksanaan dalam masyarakat yang berbilang agama.
Ketika delegasi Kristian dari Najran datang ke Madinah, Rasulullah SAW menerima mereka dengan terbuka dan berdialog dengan mereka di dalam masjid malah menurut riwayat sejarah, mereka dibenarkan menunaikan ibadat mereka di kawasan masjid tersebut.
Pendekatan ini menunjukkan bahawa Rasulullah SAW tidak memilih jalan provokasi atau penghinaan tetapi lebih mengutamakan dialog dan hujah yang beradab.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud Nabi SAW juga memberi amaran bahawa sesiapa yang menzalimi bukan Islam yang hidup aman dalam negara Islam akan berhadapan dengan baginda sebagai pembela pada hari Kiamat.
Peringatan tersebut menunjukkan betapa seriusnya Islam dalam menjaga hak dan keselamatan masyarakat bukan Islam yang hidup bersama umat Islam.
Sheikh Umar turut menekankan bahawa realiti masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama menjadikan isu berkaitan agama sangat mudah menjadi sensitif sekiranya tidak ditangani dengan kebijaksanaan.
Hubungan antara komuniti di negara ini bukan sekadar hubungan sosial biasa tetapi turut berkait rapat dengan kestabilan negara secara keseluruhan.
Dalam keadaan seperti ini, isu pentadbiran seperti status rumah ibadat sepatutnya ditangani melalui saluran undang-undang dan proses pentadbiran yang sedia ada.
Apabila sesuatu isu pentadbiran berubah menjadi konflik identiti agama kesannya boleh menjadi jauh lebih besar daripada isu asal yang ingin diselesaikan.
Beliau turut mengingatkan bahawa dalam masyarakat majmuk dakwah bukan sekadar soal menyampaikan kebenaran secara lantang, tetapi juga memerlukan kebijaksanaan membaca realiti masyarakat.
Kata-kata Saidina Ali yang menyarankan agar manusia berbicara kepada masyarakat mengikut tahap kefahaman mereka sering menjadi peringatan bahawa dakwah bukan hanya tentang apa yang disampaikan, tetapi juga bagaimana masyarakat akan menerimanya.
Pendekatan yang terlalu keras atau provokatif mungkin memberi kepuasan kepada kelompok penyokong sendiri, tetapi dalam jangka panjang boleh menutup pintu dakwah kepada masyarakat yang lebih luas.
Menurut beliau, umat Islam tidak perlu merasa lemah untuk mempertahankan akidah mereka kerana Islam mempunyai asas hujah yang kukuh serta sejarah intelektual yang panjang.
Namun, pada masa yang sama, Islam juga mengajar bahawa hikmah merupakan sebahagian daripada kekuatan dakwah itu sendiri.
Firman Allah dalam Surah Ali-Imran ayat 159 yang menekankan kepentingan kelembutan dan kebijaksanaan dalam menyampaikan dakwah turut menjadi peringatan bahawa pendekatan yang keras hanya akan menyebabkan manusia menjauh.
Sheikh Umar berpandangan kontroversi yang timbul hari ini sepatutnya menjadi ruang muhasabah kepada semua pihak tentang bagaimana dakwah boleh terus dilaksanakan dengan keberanian, tetapi dalam masa yang sama mengekalkan kebijaksanaan dan adab.
Dalam masyarakat seperti Malaysia, hikmah bukan sekadar pilihan dalam dakwah tetapi merupakan keperluan bagi memastikan kebenaran dapat disampaikan tanpa menimbulkan perpecahan yang tidak perlu.
BACA JUGA Terengganu dijangka berdepan cuaca panas membahang hingga awal Syawal