Jualan Ehsan Rahmah Mega dan Karnival Mantai Selangor sempena Jelajah Sentuhan Kasih Ramadan

HULU LANGAT, 5 Mac 2026 (Khamis) — Program Jualan Ehsan Rahmah Mega Aidilfitri dan Karnival Mantai Selangor. Program yang menghimpunkan pelbagai inisiatif agro dan kebajikan sempena Aidilfitri itu bertujuan membantu rakyat mendapatkan bekalan makanan segar pada harga lebih berpatutan selain menyantuni golongan memerlukan sepanjang bulan Ramadan.

Menurut Izham, kerajaan negeri Selangor melalui pejabat EXCO berkaitan memperuntukkan sebanyak RM100,000 bagi pelaksanaan Karnival Mantai Selangor 2026 yang akan diadakan di dua lokasi utama iaitu Shah Alam dan Hulu Langat.

Di Shah Alam, karnival akan berlangsung pada 17 hingga 18 Mac 2026 selama 24 jam di perkarangan Pasar Tani Stadium Shah Alam. Sebanyak 10 tan daging lembu segar akan dijual pada harga promosi RM25 sekilogram berbanding harga asal RM38 sekilogram dengan intervensi kupon RM5 berjumlah RM50,000.

Selain itu, sebanyak 4,000 ekor ayam turut ditawarkan pada harga promosi RM10 seekor berbanding harga asal RM17 dengan jumlah intervensi kupon sebanyak RM20,000.

Karnival tersebut turut menampilkan pelbagai jualan tambahan termasuk jualan barang segar, jualan Industri Makanan dan Asas Tani (IMAT), Jualan Ehsan Rahmah, Agrobazaar Online, Jualan Agro Madani serta jualan keperluan Hari Raya.

Sementara itu di Hulu Langat, program yang sama akan berlangsung dari 16 hingga 19 Mac 2026 secara 24 jam di Tapak Karnival Bandar Tasik Kesuma, Beranang. Sebanyak tiga tan daging lembu akan dijual dengan intervensi kupon RM10 bagi setiap kilogram dengan jumlah keseluruhan intervensi RM30,000.

Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan negeri melalui Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor turut menganjurkan Program Jualan Ehsan Rahmah Mega Aidilfitri pada 14 dan 15 Mac 2026 dari jam 9 pagi hingga 1 petang di lapan lokasi terpilih iaitu Sijangkang, Batang Kali, Tanjung Sepat, Pelabuhan Klang, Sabak, Sungai Tua, Batu Tiga dan Pandan Indah.

Pada masa sama, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan turut melaksanakan Program Semarak Syawal di tujuh lokasi termasuk Bazar Raya NADI PPR pada 7 Mac, Bazar Raya NADI Sungai Tua pada 8 Mac, Bazar Raya NADI Bandar Tun Razak pada 14 Mac, Pasar Tani Stadium Shah Alam pada 15 Mac serta Pasar Tani Taman Sri Andalas, Pasar Tani Kelana Jaya dan Pasar Tani Taman Melawati pada 18 dan 19 Mac.

Penganjuran program ini diharap dapat membantu rakyat mendapatkan bekalan makanan berkualiti dengan harga lebih rendah sekali gus meringankan beban kos sara hidup menjelang sambutan Aidilfitri.