Perebutan bayang-bayang kuasa: Samsuri, Mahiaddin dan politik gelojoh
Oleh DR SHAHNOR BASRI (*)
Dalam politik, ada dua jenis pemimpin: yang membina legitimasi melalui pengalaman, rekod pentadbiran dan pencapaian, dan yang cuba melonjak naik melalui bayang-bayang patron politik.
Polemik terbuka antara Tan Sri Mahiaddin Yassin dan Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mengenai siapakah calon Perdana Menteri bagi Perikatan Nasional mendedahkan satu hakikat yang sukar dinafikan — politik pembangkang kini terperangkap dalam krisis kepimpinan yang serius.
Pertelingkahan ini bermula apabila Mahiaddin menyatakan bahawa tiada sebarang ketetapan rasmi bahawa Samsuri adalah calon Perdana Menteri. Yang dipersetujui ialah beliau sebagai Pengerusi PN. Kenyataan itu sepatutnya cukup jelas sebagai isyarat bahawa soal kepimpinan tertinggi PN masih belum diputuskan. Namun respons Samsuri yang pantas menegaskan bahawa Mahiaddin juga tidak pernah ditetapkan sebagai calon Perdana Menteri menimbulkan persoalan lebih besar: apakah ini sekadar reaksi defensif, atau manifestasi gelojoh seorang pemimpin yang terlalu awal melihat dirinya di Putrajaya?
Dalam tradisi politik yang matang, persoalan kepimpinan tidak ditentukan oleh retorik atau kenyataan balas di media. Ia dibina melalui perjalanan panjang dalam pentadbiran negara, penguasaan dasar, dan rekod yang terbukti. Dalam konteks ini, perbandingan antara Mahiaddin dan Samsuri sebenarnya sangat tempang.
Mahiaddin, dengan segala kontroversinya, tetap memiliki pengalaman pentadbiran yang luas. Beliau Otai Politik pada zamannya. Beliau pernah menjadi Menteri Besar Johor, memegang pelbagai portfolio kementerian penting, menjadi Timbalan Perdana Menteri, dan akhirnya Perdana Menteri. Laluan politiknya panjang dan penuh liku, tetapi ia membentuk satu profil kepimpinan yang sekurang-kurangnya bersandar kepada pengalaman sebenar dalam mentadbir negara.
Sebaliknya, perjalanan politik Samsuri jauh lebih sempit. Kedudukannya sebagai Menteri Besar Terengganu sejak 2018 tidak disertai dengan rekod transformasi ekonomi negeri yang meyakinkan. Malah, jika diteliti secara objektif, Terengganu di bawah kepimpinan beliau masih terperangkap dalam struktur ekonomi lama yang bergantung kepada sumber petroleum dan peruntukan kerajaan pusat.
Data fiskal negeri menunjukkan bahawa kebergantungan Terengganu kepada dana persekutuan semakin meningkat setiap tahun. Hasil negeri sendiri tidak berkembang secara signifikan. Pelaburan langsung asing yang benar-benar berimpak juga tidak memperlihatkan lonjakan yang boleh dibanggakan. Dalam bahasa mudah, naratif “kejayaan pentadbiran” yang sering digembar-gemburkan sebenarnya tidak disokong oleh indikator ekonomi yang kukuh.
Ini membawa kepada persoalan yang lebih mendasar: apakah pencapaian besar Samsuri sebagai Menteri Besar yang boleh dijadikan bukti kelayakan beliau sebagai calon Perdana Menteri?
Jika negeri yang dipimpinnya sendiri belum menunjukkan transformasi ekonomi yang signifikan, bagaimana beliau boleh diyakini untuk mengurus ekonomi negara yang jauh lebih kompleks?
Di sinilah letaknya paradoks politik yang sedang berlaku. Samsuri kini dipromosikan sebagai “poster boy” Perikatan Nasional, khususnya oleh Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan oleh Pemuda PAS. Namun hakikatnya, populariti yang dibina melalui naratif parti tidak semestinya selari dengan realiti prestasi pentadbiran.
Lebih menarik lagi, reputasi akademik dan profesional Samsuri sebelum memasuki politik juga tidak menunjukkan kecemerlangan luar biasa yang sering cuba digambarkan oleh penyokongnya. Dalam dunia akademik, ukuran prestasi biasanya jelas — penyelidikan, penerbitan, sumbangan kepada ilmu, dan reputasi antarabangsa. Namun rekod tersebut tidak memperlihatkan keunggulan yang boleh dianggap luar biasa.
Ini bukan untuk menafikan kelayakan beliau sebagai seorang teknokrat atau profesional, tetapi untuk menegaskan bahawa naratif “tokoh hebat yang menunggu masa menjadi Perdana Menteri” sebenarnya lebih banyak dibina melalui propaganda politik berbanding fakta yang boleh diuji. Sekiranya benar beliau merupakan tokoh Perdana Menteri masahadapan, percayalah masahadapan negara akan lebih gelap dan malap!
Apa yang berlaku hari ini dalam PN sebenarnya mencerminkan krisis struktur kepimpinan yang lebih mendalam. Selepas era Mahathir dan kemudiannya Mahiaddin, parti-parti dalam gabungan ini masih gagal melahirkan generasi pemimpin nasional yang benar-benar memiliki graviti politik.
Sebahagian pemimpin muda pula kelihatan terlalu cepat ingin melonjak ke puncak tanpa terlebih dahulu membina rekod yang meyakinkan. Dalam politik, gelojoh sering menjadi tanda kelemahan, bukan kekuatan.
Lebih ironik lagi, perbalahan terbuka antara Mahiaddin dan Samsuri ini berlaku ketika PN masih bergelut untuk membina kredibiliti sebagai alternatif kerajaan. Rakyat yang memerhati tidak melihat persaingan idea atau visi negara. Sebaliknya, yang kelihatan hanyalah perebutan simbolik mengenai siapa yang lebih layak menduduki kerusi Perdana Menteri yang bahkan belum pasti berada dalam jangkauan mereka.
Politik seperti ini bukan sahaja melemahkan imej pembangkang, tetapi juga menonjolkan satu bentuk hipokrasi yang sukar disembunyikan.
Ketika mereka sering mengkritik kerajaan kononnya berebut kuasa, realitinya mereka sendiri sedang bertarung untuk sesuatu yang masih berupa bayang-bayang.
Samsuri mungkin dilihat sebagai “anak emas” kepada Hadi Awang.
Namun dalam politik nasional, restu seorang presiden parti sahaja tidak cukup untuk membina legitimasi sebagai pemimpin negara. Legitimasi itu datang daripada rekod pentadbiran, kemampuan memimpin ekonomi, serta keupayaan membina keyakinan rakyat.
Setakat ini, rekod tersebut masih belum kelihatan.
Jika Samsuri benar-benar ingin dilihat sebagai calon Perdana Menteri yang serius, langkah pertama bukanlah membalas kenyataan Mahiaddin melalui media. Sebaliknya, beliau perlu membuktikan keupayaan sebenar melalui pentadbiran negeri yang cemerlang — menarik pelaburan berkualiti, mengurangkan kebergantungan fiskal kepada pusat, dan membina ekonomi negeri yang dinamik.
Tanpa pencapaian tersebut, naratif bahawa beliau layak menjadi Perdana Menteri hanya akan kekal sebagai retorik politik yang kosong. Walaubagaimanapun dimana pula kedudukan Hamzah Zainuddin yang telah menundukkan dirinya wala’ kepada PAS.
Adakah beliau akan dipermainkan dan ‘end game’ kepada cita-cita politiknya hatta melalui Parti Keluarga Malaysia, yang terang-terang di tolah oleh Mahiaddin dan BERSATU dari menyertai PN!
Dan dalam politik Malaysia yang semakin matang, retorik kosong semakin sukar untuk menipu realiti.
—————–
(*) Penulis merupakan Felo Utama Akademi Sains Islam, Jordan
BACA JUGA Sekretariat Musyawarah: AMANAH seru bina ‘Melayu Bermaruah’ bukan politik ketakutan