‘Tahan diri’, pesan Anwar gesa hentikan tindakan ketenteraan Afghanistan–Pakistan

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menggesa agar ketegangan yang semakin memuncak antara Afghanistan dan Pakistan diselesaikan melalui dialog dan saluran diplomatik bagi mengelakkan konflik berpanjangan di rantau itu.

Anwar berkata, beliau telah mengadakan perbualan dengan Pemangku Perdana Menteri Afghanistan, Mullah Mohammad Hassan Akhund, malam tadi bagi membincangkan perkembangan terkini yang menyaksikan peningkatan ketegangan antara kedua-dua negara jiran tersebut.

Menurutnya, Malaysia menegaskan bahawa semua pihak perlu menahan diri daripada mengambil sebarang tindakan yang boleh memburukkan lagi keadaan.

“Tindakan ketenteraan yang telah meragut ratusan nyawa di kedua-dua belah pihak mesti dihentikan segera,” kata Perdana Menteri menerusi kenyataan sebentar tadi.

Sehubungan itu, Anwar berkata, Malaysia menggesa supaya ketegangan tersebut ditangani melalui rundingan dan pendekatan diplomatik bagi mengelakkan konflik berlarutan yang hanya akan membawa kesengsaraan kepada rakyat serta menjejaskan keamanan dan kestabilan rantau berkenaan.

Tegas beliau lagi, pendekatan dialog dan kerjasama antarabangsa adalah jalan terbaik bagi meredakan krisis serta memastikan keamanan dapat dikekalkan di rantau Asia Selatan.

BACA JUGA Malaysia catat rekod pelaburan tertinggi RM426.7 bilion, bukti keyakinan dunia terhadap Kerajaan MADANI