Terengganu dijangka berdepan cuaca panas membahang hingga awal Syawal
Pakar menjangkakan cuaca panas membahang di Terengganu berlarutan hingga ke minggu pertama Syawal ekoran berpunca daripada beberapa faktor atmosfera yang berlaku serentak ketika ini.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains dan Sekitaran Marin, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Chung Jing Xiang, berkata cuaca panas ketika ini adalah petanda negara kini berada di penghujung musim Monsun Timur Laut.
Walau bagaimanapun, katanya, situasi sebenar bergantung kepada perubahan semasa dalam sistem atmosfera kerana faktor cuaca boleh berubah dengan cepat.
Menurutnya, pada tempoh itu, cuaca lazimnya akan menjadi lebih panas dan kering sebelum Malaysia memasuki fasa peralihan monsun.
Pada masa yang sama, ujarnya, keadaan tersebut turut dipengaruhi fenomena Ayunan Madden–Julian (MJO) yang kini berada pada fasa kelima.
“Dalam fasa ini, rantau Malaysia cenderung mengalami cuaca lebih panas dan kering berbanding kebiasaan,” katanya, dipetik BH.
Jelasnya, gabungan dua keadaan itu mengakibatkan suhu yang biasa dirasai pada penghujung Monsun Timur Laut menjadi lebih ketara.
Katanya lagi, fenomena MJO itu berupaya meningkatkan keadaan kering di atmosfera, sekali gus mengurangkan pembentukan awan hujan di beberapa kawasan.
BACA JUGA Sekretariat Musyawarah: AMANAH seru bina ‘Melayu Bermaruah’ bukan politik ketakutan