BN tanding solo atau Ka Siong sedang siapkan tilam politik untuk Pas dan PN?

Oleh Dr SHAHNOR BASRI

Kenyataan Presiden MCA, Wee Ka Siong bahawa Barisan Nasional perlu bertanding secara solo di Johor dan Melaka bukan sahaja mengejutkan, malah memperlihatkan satu sikap politik yang boleh dianggap sombong dan bongkak serta terpisah daripada realiti politik Malaysia hari ini.

Dalam politik abad ke-21, kenyataan seperti itu bukan lagi dilihat sebagai strategi politik yang matang. Sebaliknya ia memperlihatkan satu bentuk nostalgia politik lama yang gagal membaca perubahan landskap politik negara.

Hakikatnya, politik Malaysia selepas Sheraton Move telah berubah sama sekali. Dinamika politik negara kini menuntut kerjasama rentas parti, pembinaan konsensus dan kesediaan untuk membentuk gabungan yang lebih luas demi kestabilan negara. Atas asas inilah lahirnya Kerajaan Perpaduan Malaysia yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim.

Kerajaan ini bukan sekadar pakatan politik sementara, tetapi suatu keperluan strategik untuk memastikan kestabilan politik dan pemulihan ekonomi negara selepas tempoh ketidaktentuan yang panjang.

Namun kenyataan Ka Siong seolah-olah tidak mengambil kira realiti ini. Lebih menghairankan, beliau bercakap seolah-olah Malaysian Chinese Association (MCA) masih mempunyai kekuatan politik yang besar dalam kalangan pengundi Cina, sedangkan keputusan pilihan raya sejak beberapa tahun kebelakangan ini menunjukkan sebaliknya.

Realitinya amat pahit untuk diterima: MCA sudah lama kehilangan tempat di hati majoriti masyarakat Cina, khususnya di kawasan bandar. Parti itu semakin mengecil pengaruhnya dan bergantung sepenuhnya kepada kekuatan gabungan politik yang lebih besar.

Dalam keadaan parti yang semakin kehilangan sokongan, cadangan agar BN bertanding solo bukan sahaja kelihatan tidak realistik, malah boleh dianggap sebagai satu bentuk retorik politik yang tidak berpijak di bumi nyata.

Lebih menarik, kenyataan Ka Siong juga menimbulkan satu persoalan yang lebih besar: siapakah sebenarnya yang akan mendapat manfaat jika BN benar-benar bertanding secara solo?

Jawapannya hampir pasti bukan BN, apatah lagi MCA.

Sebaliknya pihak yang paling berpotensi mendapat keuntungan ialah Perikatan Nasional yang selama ini sedang mencari ruang untuk memecahkan kesepaduan politik dalam kerajaan sedia ada.

Di sinilah timbul persoalan yang lebih tajam. Adakah Ka Siong sekadar bercakap tanpa memikirkan implikasi strategik kenyataannya, atau beliau sebenarnya sedang memainkan naratif yang secara tidak langsung menguntungkan PN? Adakan beliau juga perangkap sulit PN yang telah ditanam?

Persepsi ini bukan muncul tanpa sebab. Dalam era kerajaan pasca Langkah Sheraton dahulu, Ka Siong menikmati kedudukan sebagai menteri dalam kabinet pimpinan Muhyiddin Yassin. Ketika itu hubungan beliau dengan kepimpinan BERSATU dilihat cukup selesa.

Kini apabila kedudukan politik beliau tidak lagi berada dalam orbit kuasa yang sama, nada kenyataan beliau kadangkala dilihat tidak sepenuhnya selari dengan semangat Kerajaan Perpaduan yang turut disertai oleh BN.

Lebih membimbangkan, kenyataan seperti ini hanya membuka ruang kepada naratif pembangkang untuk melemahkan kerajaan.

Politik hari ini bukan lagi soal ego parti atau nostalgia terhadap zaman dominasi lama. Dunia telah berubah, pola pemikiran masyarakat juga telah beranjak kepada dinamika yang lebih rasional dan pragmatik.

Pengundi hari ini menilai politik berdasarkan kestabilan, prestasi ekonomi dan kemampuan kerajaan menyelesaikan masalah rakyat, bukannya retorik politik yang ketinggalan zaman.

Justeru, kenyataan Ka Siong sebenarnya membuka satu persoalan yang lebih sinis tetapi sangat relevan.

Jika BN benar-benar perlu bergerak bersendirian seperti yang beliau cadangkan, adakah beliau juga bersedia menerima kemungkinan bahawa MCA akhirnya perlu bergantung kepada parti lain untuk terus hidup?

Dan di sinilah soalan yang paling tidak selesa perlu diajukan secara terbuka:
Adakah Ka Siong benar-benar bersedia untuk melihat MCA akhirnya berdamping dengan Parti Islam Se-Malaysia (PAS)?
Dengan kata lain, dalam percaturan politik yang semakin kompleks hari ini — adakah Ka Siong sanggup berkongsi tilam dan bantal politik dengan PAS?

Kerana dalam politik, setiap kenyataan mempunyai implikasi strategik. Dan dalam kes ini, kenyataan Ka Siong bukan sekadar pandangan politik biasa.

Ia membuka persoalan yang jauh lebih besar: apakah sebenarnya arah tuju politik beliau — memperkukuh kerajaan, atau secara tidak sedar sedang membuka laluan kepada pihak yang mahu meruntuhkannya? Jika beliau benar-benar yakin ada baiknya MCA sahaja bertanding solo!

BACA JUGA Parti baharu anak muda muncul di Terengganu