RM75,000 Wakalah Zakat disalur dalam program kebajikan Surau Al-Amirin

FOTO BERITA: Majlis Perasmian Program Ambil Peduli Agihan Bubur Lambuk Ramadan bersama Orang Besar Daerah Hulu Langat, Y.D.H. Dato’ Haji Rosli Othman. Turut hadir Dato’ Haji Mohd Jusni, Pegawai Daerah Hulu Langat dan Pengerusi Surau Dato’ Abdul Rashid Mohd Ghani di Surau Al-Amirin, Seksyen 4 Bandar Baru Bangi, Selangor. 7hb Mac 2026 (Sabtu)

Program Ambil Peduli dan Pengagihan Bubur Lambuk sempena Ramadan dan sambutan Nuzul Quran anjuran Surau Al-Amirin berlangsung meriah dengan kehadiran pemimpin daerah serta masyarakat setempat yang bergotong-royong menjayakan aktiviti kebajikan tersebut.

Majlis perasmian program berkenaan telah disempurnakan oleh Orang Besar Daerah Hulu Langat, Dato’ Haji Rosli Othman. Turut hadir memeriahkan majlis ialah Dato’ Haji Mohd Jusni Hasim serta Pengerusi Surau Al-Amirin, Dato’ Abdul Rashid Mohd Ghani.

Program yang dianjurkan sempena bulan Ramadan itu bertujuan memperkukuh semangat perpaduan, kesukarelawanan serta kebajikan dalam kalangan masyarakat di sekitar Bandar Baru Bangi dan daerah Hulu Langat.

Melalui inisiatif tersebut, kira-kira 500 pek bubur lambuk telah disediakan secara gotong-royong oleh jawatankuasa surau bersama ahli kariah sebelum diagihkan kepada penduduk setempat, golongan asnaf serta masyarakat sekitar. Selain itu, sumbangan barangan dapur dan duit raya turut disampaikan kepada penerima yang layak sebagai tanda keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan sepanjang bulan Ramadan yang penuh keberkatan.

Pada majlis sama, Pengerusi Surau Al-Amirin, Dato’ Abdul Rashid Mohd Ghani turut menyalurkan wakalah zakat perniagaan beliau berjumlah RM75,000. Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM50,000 diperuntukkan kepada Maahad Tahfiz & Tarbiyyah Al-Amirin manakala RM25,000 lagi disalurkan kepada Surau Al-Amirin bagi menyokong aktiviti keagamaan dan kebajikan. Penyerahan cek sumbangan itu disaksikan oleh Dato’ Haji Rosli Othman dan Dato’ Haji Mohd Jusni Hasim.

Dalam ucapannya, Dato’ Haji Rosli Othman menzahirkan penghargaan terhadap komitmen pihak surau serta ahli kariah yang berganding bahu menjayakan program kebajikan tersebut.

Beliau berkata program seumpama ini mencerminkan kekuatan semangat gotong-royong dan kebersamaan yang menjadi teras keharmonian masyarakat, di samping mengeratkan hubungan antara pemimpin dan komuniti setempat.

“Ramadan bukan sahaja bulan ibadah, malah bulan untuk memperkukuh silaturahim serta menyemai nilai keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan. Saya berharap usaha seperti ini dapat diteruskan agar manfaatnya dapat dirasai oleh lebih ramai masyarakat di daerah ini,” katanya.

Istimewanya, bersempena sambutan Nuzul Quran, sebelah petang pihak Surau Al-Amirin turut menganjurkan ceramah khas sebelum waktu iftar yang disampaikan oleh Prof. Dr. Mohd Farid Ravi Abdullah bertajuk “Amalan dan Penghayatan Al-Quran – Mukjizat untuk Masyarakat”, yang menekankan keindahan serta keagungan Al-Quran sebagai panduan kehidupan sejagat.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pegawai Tadbir Agama Islam Daerah Hulu Langat, ahli majlis, wakil agensi kerajaan serta dif jemputan.

Pengerusi Surau Al-Amirin, Dato’ Abdul Rashid Mohd Ghani merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program berkenaan dan berharap usaha sebegini akan terus diperkasa sebagai platform menyuburkan nilai kebersamaan, ihsan serta tanggungjawab sosial dalam komuniti.