Jika BN tanding semua kerusi di Terengganu, AMANAH juga sedia

AMANAH Terengganu mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Nik Dir yang mengingatkan AMANAH supaya melihat kemampuan parti sebelum memutuskan bertanding di sesuatu kerusi, termasuk menentang Datuk Seri Ahmad Samsuri di Kemaman.

Nik Dir mendakwa, tahap sokongan PH lebih lemah berbanding UMNO kerana PH tidak mempunyai akar umbi yang kuat selain jumlah ahli yang rendah.

Menjawab kenyataan tersebut, Zamir berkata, pendekatan lama jentera parti yang bergantung kepada markas dan ahli sedia ada sudah kurang relevan di era pengundi muda ini.

Pada pilihan raya akan datang, negeri akan berdepan dengan jumlah pengundi muda bawah 45 tahun yang jumlahnya seimbang (50-50) dengan pengundi saluran 1-3.

Menurut Zamir, pengundi muda berumur bawah 45 tahun termasuk 64,000 pengundi pertama kali, lebih mengenali pemimpin dan simbol politik semasa berbanding sejarah pentadbiran terdahulu.

Atas sebab itu katanya, pengundi muda tidak akan ingat kisah-kisah dana raya UMNO, atau tentang jambatan gantung yang dibuat UMNO dahulu. 

“10 tahun usia Pas menjadi kerajaan negeri, dengan jumlah “first time voters” pada tahun ini jika buat pilihan raya, mereka hanya kenal RXZ ‘members’ Pas, Dr Samsuri dan PMX dari PH.

“Mereka tidak kenal pun UMNO sebagai sebuah kerajaan negeri dan segala cerita gemilang yang ada sebelum itu jika ingin dicanang,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Beliau mengingatkan, persepsi politik kini menjadi penentu utama kemenangan di Terengganu, berbanding semata-mata jumlah cawangan atau ahli parti. 

Ujarnya, walaupun jumlah jentera AMANAH mungkin belum menandingi saiz BN di negeri ini, namun akhirnya BN juga tidak menang di sana.

“Mengapa persepsi politik ini penting di Terengganu? Sebab Pas setiap kali boleh ambil kerajaan negeri ialah bila wujud gelombang. Gelombang ialah persepsi. 

“Jika ingin dihitung jentera, jumlah cawangan UMNO jauh mengatasi Pas di negeri ini pada saiz dua kali ganda. Ia jauh mengatasi AMANAH. Pasti. Tapi akhirnya BN tetap tidak menang di sini,” tambahnya.

Dalam pada itu Zamir berkata, dalam masa terdekat ini AMANAH akan mengambil langkah sama seperti UMNO, mengumumkan calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

AMANAH akan menumpukan pengumuman calon untuk 8 kerusi Parlimen terlebih dahulu, termasuk profil calon muda berkelayakan dari latar belakang teknokrat.

“Apa pun saya ucapkan tahniah kerana BN Terengganu sudah umumkan cukup calon yang bakal bertanding 32 DUN dan 8 Parlimen.

“Terdekat ini, AMANAH Terengganu juga akan umumkan yang sama. Lebih dari itu, AMANAH akan terus dedahkan profil calon di 8 Parlimen Terengganu. Semua anak muda teknorat dengan syarat minima Ijazah Sarjana Muda termasuk dari IPT luar negara. 

“Mungkin kami belum boleh saingi jumlah jentera. Tetapi kualiti calon, boleh ikat kemas juga kain samping raya. Dan mereka semua memegang kepimpinan tertinggi parti di peringkat Negeri dan Kawasan/Bahagian. Termasuk ada calon dari sayap Puteri,” ujarnya lagi.

BACA JUGA Kes Mahiaddin babit rasuah projek Jana Wibawa mula bicara esok