Tindakan Iran tunjukkan adab perang dalam Islam

OLEH NIK HASYUDEEN

Adab perang Islam mula menarik perhatian. Saya hanya mengikuti orang-orang yang saya percaya, bukan media seperti CNN, BBC dan Aljazeera. Semua media itu ada kiblat yang jelas yang saya tak akan ikuti.

Di kebelakangan ini, bekas-bekas tentera dan pegawai risikan Amerika seperti Scott Ritter, Larry Johnson dan Lawrence Wilkerson mula mengulas berkenaan adab-adab peperangan Islam.

Sudah tentu rujukan mereka ialah sumber-sumber dari Iran kerana peperangan sedang berlaku di situ.

Antara perkara yang mereka ulas ialah keengganan Ayatullah Khamenei membenarkan Iran memiliki senjata neuklear.

“Haram” kata Scott Ritter di dalam loghat Amerika. Malah, Ritter sedang membuat kajian berkenaan Islam sebagai solusi konflik.

Jika kita perhatikan, Iran memfokuskan serangan ke atas sasaran-sasaran ketenteraan. Jika hotel atau kereta kena bom pun, mereka mahu mensasarkan tentera-tentera dan perisik Amerika dan Israel yang ada di situ.

Setakat ini kualiti risikan Iran (mungkin mendapat bantuan Russia dan China) agak tepat.

Mereka baharu sahaja mengeluarkan foto pilot-pilot Israel yang mengebom Iran. Sudah tentu rumah-rumah pilot berkenaan bukan lagi menjadi lokasi yang selamat.

Amerika dan Israel pula memulakan perang dengan membunuh orang awam. Lebih 100 anak-anak sekolah dibom oleh Amerika.

Sekarang mereka masuk ke fasa yang lebih buruk, mereka serang infrastruktur awam seperti pusat memproses minyak dan pusat penyulingan air.

Sebelum ini Iran memberi amaran sekiranya infrastruktur awamnya diserang, ia akan bertindak pada kadar yang sama.

Ini jelas menunjukkan Iran menghormati adab-adab tertentu di dalam peperangan, bukannya mengikut emosi dan nafsu seperti yang diamalkan oleh Amerika dan Israel selama ini.

Berita terakhir yang saya ikuti ialah pusat pemproses minyak Israel di Haifa sudah diserang oleh Iran.

Pihak tentera Iran juga mengumumkan akan melakukan perkara yang sama di seluruh Israel. Ini adalah peningkatan (escalation) berkadar yang diamalkan oleh Iran.

Malangnya disebabkan fokus pengulas-pengulas ini hanyalah kepada Iran yang merupakan sebuah negara Syiah, pengulas-pengulas ini menggambarkan kumpulan-kumpulan Sunni seperti ISIS sebagai lebih kejam. 

Kita mungkin nampak sebaliknya. Sebagai orang-orang yang bukan Islam, mereka hanya bersandarkan data dan maklumat yang sampai kepada mereka, bukannya seperti kita yang membezakan dari segi aqidah.

Lagipun ada di antara pengulas ini yang yakin Presiden Syria sekarang adalah budak Amerika yang asalnya ISIS.

Walau apa pun perasaan kita, saya nampak ada peluang untuk menjelaskan apakah prinsip-prinsip Islam berkenaan peperangan agar pihak yang mula nampak adab dan pendekatan Islam jauh lebih beradab dan terhormat.

Namun, di ketika kebisingan yang melampau ini, mungkin ini merupakan satu perkara yang sukar dilakukan.

Foto: Tempat penyimpanan minyak Iran di Taheran yang dibom oleh Israel hari ini.

BACA JUGA Tulisan menarik tentang IRAN oleh seorang wartawan Israel, Alon Mizrahi