Ini sebabnya 125,000 penjawat awam Gred 1 mengukir senyuman
Seramai 125,000 penjawat awam yang kini berada pada Gred 1 mengukir senyuman apabila bakal menikmati kenaikan ke Gred 5 bermula Januari 2027.
Kenaikan gred itu melibatkan penjawat awam dalam jawatan Pembantu Tadbir (Perkeranian dan Operasi) serta Pembantu Tadbir (Kewangan), yang merupakan antara kumpulan terbesar dalam perkhidmatan awam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kenaikan gred perkhidmatan dalam Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat.
Perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat bersama Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abd Aziz bagi meneliti pelaksanaan SSPA.
“Bagi menambah baik peluang laluan kerja, saya telah minta Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk sediakan laluan kenaikan gred daripada Gred 1 naik ke Gred 5.
“Ini untuk 125,000 orang Pembantu Tadbir Pengkeranian dan Kewangan,” kata Perdana Menteri.
Beliau berkata demikian pada Perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di Putrajaya, hari ini.
BACA JUGA Pengerusi PN cerita pasal aiskrim goreng di bulan Ramadan